Utusan Borneo (Sarawak)

SINDIKET PENIPUAN BANTUAN KEBAJIKAN KEMBALI AKTIF

-

KUCHING: Sindiket penipuan bantuan kebajikan kembali aktif di Sarawak yang menyaksika­n empat kes dilaporkan bagi tempoh Januari hingga 21 April tahun ini melibatkan kerugian sebanyak RM17, 880.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superinten­den Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pada tahun lalu bagi tempoh 1 Januari hingga Disember, sebanyak 31 kes penipuan bantuan kebajikan dilaporkan melibatkan jumlah keseluruha­n kerugian RM390,425 di seluruh Sarawak.

“Sindiket ini kembali aktif di Sarawak yang mana dua suri rumah warga emas dari Sri Aman dan Betong menjadi mangsa terbaharu penipuan bantuan kebajikan ini melibatkan jumlah kerugian keseluruha­n sebanyak RM4,410 semalam (kelmarin),” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mengulas lanjut kes di Sri Aman, ia melibatkan mangsa berusia 63 tahun dengan kerugian dilaporkan berjumlah RM2,850.

Katanya pada 21 April lalu semasa mangsa berada berhampira­n sebuah farmasi di Jalan Sabu Lama, Sri Aman, dia didatangi seorang wanita tidak dikenali yang mengatakan hendak membantu mangsa mendapatka­n wang bantuan kerajaan sebanyak RM1,200.

Tambahnya, wanita itu turut mengatakan mangsa akan menerima RM350 setiap bulan dan kemudian mangsa dibawa menaiki sebuah kereta berwarna putih bersama dua lagi lelaki yang tidak dikenali.

“Mereka mengatakan akan membawa mangsa mengisi borang bantuan dan seterusnya mengambil gambar dan apabila sampai di Jalan Paip, mangsa telah diarahkan turun dari kereta itu tetapi beg tangannya mestilah ditinggalk­an di dalam kereta,” dedahnya.

Namun, oleh kerana mangsa enggan menuruti arahan itu, kata Mustafa, salah seorang suspek telah menarik beg tangan mangsa dan kemudian menolak mangsa ke tepi jalan.

Kemudian ketiga-tiga suspek terus memecut kereta dan melarikan diri bersama beg tangan berwarna putih milik mangsa yang mengandung­i wang tunai lebih kurang RM350, barang kemas, buku akaun Amanah Saham Bumiputera dan buku akaun bank.

Sementara itu, kes penipuan bantuan kebajikan di Betong pula melibatkan suri rumah berusia 72 tahun yang mengalami kerugian RM1,560.

Beliau menjelaska­n, modus operandi kes ini, pada 21 April semasa mangsa berada di hadapan sebuah kedai di pekan Debak, Betong, mangsa didatangi seorang wanita yang tidak dikenali.

“Wanita itu memberitah­u duit BR1M (kini BSH) telah masuk hari ini, tetapi mangsa mengatakan dia bukan penerima bantuan itu.

“Kemudian wanita itu terus menarik mangsa masuk ke dalam sebuah kereta berwarna kuning. Turut berada di dalam kereta tersebut dua lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki tidak dikenali,” katanya.

Menurut Mustafa, semasa berada dalam kereta itu, suspek wanita telah menanggalk­an barang kemas seperti rantai leher, subang emas serta jam tangan dan dua bentuk cincin tembaga milik mangsa.

Selain itu, suspek turut mengambil beg duit yang mengandung­i wang RM80 milik mangsa.

“Selepas itu, suspek-suspek telah meninggalk­an mangsa di tepi jalan berhampira­n sebuah rumah panjang, sebelum mereka melarikan diri menggunaka­n kereta dengan membawa bersama barangan milik mangsa,” ujarnya.

Justeru, beliau mengingatk­an masyarakat agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan muslihat atau tipu helah pihak tertentu yang menyamar sebagai kakitangan kebajikan atau mana-mana individu yang mengatakan boleh mendapatka­n bantuan kebajikan daripada agens kerajaan.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia