Utusan Borneo (Sarawak)

Penganggur dihadap ke mahkamah atas tuduhan edar, miliki dadah

-

MIRI: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mengedar dan memiliki dadah berbahaya.

Fadzhullah Khoo Abdullah, 45, dari Lorong 7 Jalan Jee Foh, Krokop di sini didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang daripada 15 kali sebatan (sekiranya tidak dikenakan hukuman mati).

Berdasarka­n pertuduhan kes, tertuduh dituduh mengedar dadah berbahaya jenis methamphet­amine seberat 190 gram (berat kasar).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 6.40 petang, pada 13 April lalu di sebuah bilik hotel bajet di Jalan Cressandra, New Town Extention di sini.

Tiada pengakuan salah tertuduh direkodkan.

Terdahulu, pegawai pendakwa ASP Mary Ong memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut memandangk­an laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.

Majistret Kasyfurrah­man Abang Ahmad kemudian menetapkan 17 Mei depan untuk sebutan lanjut kes.

Manakala tertuduh tidak ditawarkan jaminan, diperintah­kan supaya ditahan lanjut sementara menunggu tarikh tersebut.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama kerana memiliki dadah jenis nimetazepa­m.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut pertuduhan sementara, tertuduh bukan sebagai seorang diberi kuasa sah di bawah ADB 1952, didapati memiliki dadah berbahaya jenis nimetazepa­m dengan berat kasar 2.50 gram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Fadzhullah pada masa dan di tempat yang sama.

Mahkamah turut menetapkan 17 Mei depan untuk sebutan lanjut sementara menunggu laporan kimia berhubung barang kes disiapkan.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan RM2,500 berserta dua penjamin tempatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia