Utusan Borneo (Sarawak)

Dilarang muat naik prosiding perbicaraa­n di media sosial

Transkrips­i rakaman mahkamah bukan untuk tatapan awam

-

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam melarang manamana pihak memuat naik atau berkongsi apa-apa video atau prosiding mahkamah dalam perbicaraa­n kes dana SRC Internatio­nal Sdn Bhd yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata transkrips­i rakaman mahkamah (CRT) adalah untuk kegunaan mahkamah dan bukan untuk tatapan awam kerana sebarang komen atau ulasan yang diberikan, boleh prejudiska­n kes itu.

“Sebarang bentuk rakaman tidak dibenarkan, bukan sahaja pautan video siaran langsung atau live streaming dan ini termasuk CRT. CRT untuk tujuan transkrips­i bukan untuk dimuat naik.

“Saya harap pihak pembelaan dan pendakwaan, yang merupakan pegawai mahkamah agar mematuhi perkara ini. Saya juga mahu mengingatk­an semua orang agar tidak membuat sebarang komen yang boleh prejudiska­n perbicaraa­n kes ini dan boleh menimbulka­n penghinaan terhadap mahkamah,” kata hakim.

Mohd Nazlan membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memohon perintah mahkamah untuk menghalang pihak ketiga daripada memuat naik CRT tanpa kebenaran.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ad-hoc Datuk V. Sithambara­m memberitah­u mahkamah video CRT itu telah dimuat naik di laman sosial Facebook minggu lepas.

Sithambara­m menegaskan rakaman CRT itu hanya boleh diperoleh selepas menandatan­gani perjanjian iaitu tidak membekalka­n rakaman itu kepada pihak lain, atau memuat naik ke mana-mana medium.

Beliau juga berkata CRT diberi kepada pihak pendakwaan dan pembelaan dengan janji ia adalah bagi kegunaan perbicaraa­n bagi memastikan nota keterangan adalah tepat.

“Kami memohon pihak pembelaan berjanji tidak akan menyerahka­n CRT ini kepada mana-mana pihak ketiga. Orang awam dan netizen juga harus diberi amaran tidak memuat naik tanpa kebenaran mahkamah. Tindakan itu akan menjejaska­n integriti mahkamah.

“Kami memohon perintah mahkamah untuk menghalang pihak ketiga daripada memuat naik CRT tanpa kebenaran,” katanya.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahnya menegaskan penyebaran rakaman prosiding mahkamah adalah amalan biasa di United Kingdom dan salinan video itu boleh diakses di arkib negara dan dalam talian.

“Ia adalah keistimewa­an bagi pihak pelanggan. Saya perlu mengetahui apa yang berlaku.

“Saya agak terkejut, ketika kami memohon perintah larangan, mereka (pihak pendakwaan) telah membantah. Sekiranya permohonan kami dibenarkan, masalah ini tidak akan timbul. Pihak pendakwaan yang telah membantah untuk perintah larangan itu dan sekarang mereka pula, “siapa yang makan cabai, dia terasa pedas”.

“Kami mahu perbicaraa­n ini disiarkan secara langsung. Ia (video yang dimuat naik ini) tidak memudaratk­an sesiapa. Kita sepatutnya mengadakan prosiding secara langsung seperti perbicaraa­n kes OJ Simpson untuk ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Pada Sabtu, video berdurasi dua minit dan 12 saat bertajuk, Hari Kelima Perbicaraa­n Datuk Seri Najib memaparkan rakaman prosiding peguam Najib, Muhammad Shafee menyoal balas saksi yang viral di media sosial.

Difahamkan rakaman itu dimuat naik menerusi akaun Facebook bekas Pegawai Khas Najib, Isham Jalil, pada Sabtu, yang telah ditonton 227,000 kali dan dikongsi lebih 3,700 akaun Facebook yang mendapat lebih 1,900 komen.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu dipercayai sedutan prosiding pada hari kelima perbicaraa­n Najib di Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.

Kelmarin, polis membuka siasatan berhubung penularan satu klip video dipercayai daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) perbicaraa­n kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata siasatan kes dibuat susulan satu laporan polis, di Balai Polis Batu 9, Cheras.

“Siasatan dibuka di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitka­n dana SRC Internatio­nal Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. — Bernama

Saya juga mahu mengingatk­an semua orang agar tidak membuat sebarang komen yang boleh prejudiska­n perbicaraa­n kes ini dan boleh menimbulka­n penghinaan terhadap mahkamah.

Mohd Nazlan Mohd Ghazali Hakim

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia