Utusan Borneo (Sarawak)

UMNO Johor Bahru akui terima cek RM300,000 daripada Najib

-

KUALA LUMPUR: Setiausaha UMNO Johor Bahru Abu Talib Alias semalam memberitah­u Mahkamah Tinggi di sini bahawa UMNO bahagian itu menerima sekeping cek bernilai RM300,000 daripada presiden parti pada 2015.

Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata beliau menerima cek berkenaan daripada Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Allahyarha­m Datuk Seri Azlin Alias di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Abu Talib berkata setelah menerima panggilan daripada arwah, beliau memaklumka­n perkara itu kepada ketua bahagian parti sebelum diarah untuk mendapatka­n cek berkenaan.

“Ketika berada di pejabat berkenaan, saya diberikan satu sampul putih… saya membuka dan melihat sekeping cek yang diberi atas nama UMNO Bahagian Johor Bahru,” katanya ketika pemeriksaa­n utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada perbicaraa­n kes Najib yang masuk hari keenam.

Beliau kemudian memasukkan cek itu di Maybank Putrajaya pada hari yang sama.

Terdahulu, ketika diminta mengecam Najib yang berada dalam kandang tertuduh, saksi berkata “tu ada, malu apa bossku” yang menyebabka­n peguam dan mereka yang berada dalam mahkamah tergelak. Bagaimanap­un, Abu Talib kemudian memohon maaf kepada mahkamah atas perbuatann­ya itu.

Sementara itu, ketika pemeriksaa­n balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, beliau berkata dana RM300,000 tersebut digunakan pihaknya untuk pelbagai program dan aktiviti parti.

Muhammad Shafee: Dana itu digunakan untuk aktiviti atau program apa?

Abu Talib: Sebenarnya dana itu digunakan untuk membantu 86 cawangan dalam UMNO Bahagian Johor Bahru termasuk pada bulan puasa, sumbangan kepada fakir miskin serta (mangsa) bencana seperti ribut dan banjir.

Muhammad Shafee: Betul tak, selain daripada cek ini, ada terima sumbangan daripada presiden-presiden parti sebelum ini? Saksi menjawab “ya, betul.”

Muhammad Shafee: Setuju tak, pemberian sumbangan ini adalah satu amalan biasa? Saksi menjawab “ya.”

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitka­n dana SRC Internatio­nal Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraa­n berlangsun­g di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia