Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki Thailand maut dikelar rakan sekerja di kedai makan

-

SEREMBAN: Seorang lelaki warga Thailand berusia 24 tahun, maut selepas dikelar oleh rakan sekerjanya di sebuah kedai makan di Taman Bukit Emas, di sini, malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Supt Mohd Rosli Ishak berkata dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu, mangsa telah dikelar di bahagian leher oleh rakan sekerja lelaki, yang berumur 19 tahun selepas dipercayai bergaduh di kedai makan tersebut.

“Sebelum pergaduhan tersebut berlaku, suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang menegurnya mengenai perihal tugas di tempat kerja. Semasa berada di bahagian belakang dapur, berlaku pergaduhan antara suspek dan mangsa.

“Suspek telah mengambil sebilah pisau pemotong sayur dan kelar leher mangsa dan mengakibat­kan mangsa mengalami pendarahan yang banyak dan terbaring,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurut Mohd Rosli selepas kejadian itu, adik kandung mangsa bersama beberapa pelanggan kedai makan yang berada di lokasi berkenaan terus menangkap suspek.

“Mangsa yang cedera telah dibawa oleh rakan sekerja yang lain ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, namun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Suspek dan senjata yang digunakan semasa kejadian telah diserahkan kepada anggota polis yang tiba di tempat kejadian untuk tangkapan dan siasatan lanjut,” katanya.

Katanya mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik HTJ untuk menjalani proses bedah siasat bagi mengetahu punca kematian.

Katanya suspek telah ditahan reman selama tujuh har bermula semalam.

“Kes berkenaan juga dianggap selesai kerana suspek utama telah ditangkap,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia