Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki nafi ugut kakak, laku khianat

-

MIRI: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret terhadap tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap kakaknya dan melakukan khianat.

Mohamad Afendy Bujang, 37, dari Piasau Jaya di sini telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau keduaduany­a sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarka­n pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh melakukan ugutan jenayah sambil bersenjata­kan sebatang besi terhadap Sabariah Bujang, 43, dengan mengamuk dan memecahkan pintu dengan niat menakutkan mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.40 malam, 15 Oktober lalu di sebuah rumah di Jalan 2G Fasa II Piasau Garden di sini.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh melakukan khianat dengan merosakkan pintu kaca dan dinding rumah milik Sabariah Bujang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada masa dan di tempat yang sama.

Setelah mendengar pengakuan tidak salah tertuduh, Majistret Md. Syafique Md. Hilmie kemudian menetapkan 13 November depan untuk pengurusan kes.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan RM2,500 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor, sementara tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia