Utusan Borneo (Sarawak)

Cadangan belia akan terus diambil kira dalam dasar, inisiatif negeri

-

KUALA LUMPUR: Pemimpin Sarawak akan terus mengambil kira atau mempertimb­angkan cadangan belia bagi memastikan ia dapat dimasukkan dalam dasar atau inisiatif negeri.

Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini termasuk cadangan serta pengesyora­n daripada anak-anak Sarawak yang menyertai acara tahunan iaitu Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS).

“Pada tahun ini, sesi dialog kita adalah mendengar cadangan dan luahan belia kita khususnya pendidikan, masalah sosial, peluang pekerjaan dan perumahan.

“Kita berharap dari dialog itu mereka akan kemukakan cadangan dan resolusi kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Ia untuk dimasukkan ke dalam dasar atau inisiatif kerajaan negeri,” katanya pada sidang media sempena LBAS 2019 di Pusat Perdaganga­n Antarabang­sa Malaysia (MITEC) di sini, semalam.

Beliau berkata, sebagai contoh Sarawak telah melaksanak­an Inisiatif Graduan Pulang (I-GPS) iaitu bantuan tiket kapal terbang yang membolehka­n anak-anak Sarawak pergi dan balik bagi menyambut perayaan.

“Ini hasil sesi luahan anakanak muda kita dan kita dapat membantu menerusi I-GPS,” katanya.

Tahun ini adalah kali ke-13 penganjura­n LBAS sebagai wadah perhimpuna­n untuk mengeratka­n perpaduan anak Sarawak daripada pelbagai latar belakang yang berada di Semenanjun­g Malaysia.

Program ini dianjurkan oleh Persatuan Sukarelawa­n Sarawak (Sarawak Volunteers) dengan sokongan kerajaan negeri Sarawak dan kerjasama daripada Pejabat Perhubunga­n Sarawak, Kuala Lumpur.

Penganjura­nnya tahun ini dipengerus­ikan oleh Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing.

Sebagaiman­a tahun-tahun sebelumnya, Sarawak Agenda menampilka­n Ketua Menteri dalam sesi Town Hall #TanyakAban­gJo untuk berinterak­si bersama para hadirin.

Ketua Menteri akan memberikan maklum balas secara langsung kepada pandangan dan soalan-soalan yang dikemukaka­n.

Sementara itu, program akan diteruskan dengan acara pada sebelah malam dengan Majlis Makan Malam Anak Sarawak pula diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.

Secara keseluruha­n, LBAS 2019 telah berjaya menarik penyertaan hampir 10,000 peserta dari seluruh Semenanjun­g Malaysia dan turut disertai 31 agensi kerajaan, sembilan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan 43 usahawan.

 ??  ?? UNTUK SARAWAK: Fadillah pada sidang media di MITEC, semalam.
UNTUK SARAWAK: Fadillah pada sidang media di MITEC, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia