Ia merupakan berita gembira kepada semua penjawat awam di Sarawak: SWBEU
SIBU: Kakitangan Lembaga Air Sibu (LAS) amat berterima kasih kepada kerajaan negeri atas pemberian Bantuan Khas Kewangan dua bulan gaji pokok atau minimum RM2,000 kepada penjawat awam negeri ini.
Presiden Kesatuan Sekerja Lembaga Air Sibu (SWBEU) Mohd Zainorin Arshad berkata, bantuan itu merupakan berita gembira kepada semua penjawat awam di Sarawak.
“Pihak kami amat menghargai keprihatinan pihak kerajaan negeri yang menjaga kebajikan penjawat awam dalam menghadapi bebanan kewangan akibat kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa ini.
“Dengan adanya bantuan yang diberikan ini, sedikit sebanyak dapat membantu golongan ibu bapa dalam persiapan awal untuk menghantar anak-anak ke sesi persekolahan awal tahun depan,” ujar beliau dalam satu kenyataan.
Pihak kami amat menghargai keprihatinan pihak kerajaan negeri yang menjaga kebajikan penjawat awam dalam menghadapi bebanan kewangan akibat kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa ini.
Presiden SWBEU
Mohd Zainorin bekata, bantuan tersebut juga dapat membantu meringankan beban perbelanjaan dalam persiapan menyambut Hari Krismas bagi kakitangan LAS yang meraikannya.
Selain itu, beliau turut melahirkan rasa syukur dan menyifatkan bantuan tersebut sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap semua penjawat awam yang secara tidak langsung turut serta membangunkan negeri ini.
“Malah, kita berharap kerajaan negeri dapat terus menabur bakti kepada semua rakyat di negeri ini khususnya kepada kakitangan Perkhidmatan Awam Negeri.
“Pihak SWBEU juga menyokong dan mengalu-alukan usaha Ketua Menteri serta kerajaan negeri dalam perjuangan mendapatkan hak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan royalti minyak 20 peratus,” ujarnya.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam ucapan penggulungan persidangan DUN pada Rabu mengumumkan kerajaan Sarawak memberi Bantuan Khas Kewangan bersamaan dua bulan gaji pokok atau minimum RM2,000 kepada kakitangan Perkhidmatan Awam Negeri sebagai menghargai sumbangan mereka yang bekerja gigih.
Bayaran itu, kata beliau, akan dibuat sebelum penghujung tahun ini.
“Kerajaan GPS amat prihatin dengan kebajikan kakitangan Perkhidmtan Awam Negeri Sarawak khususnya dalam menghadapi beban kewangan akibat kos sara hidup yang semakin meningkat,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas perkara sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad berkata bantuan khas itu akan membantu meringankan kos sara hidup kakitangan kerajaan negeri.
Safiee berkata bantuan itu menunjukkan kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) prihatin akan kebajikan kaitangan awam di negeri ini.
“Saya yakin, pengumuman bantuan khas tersebut menggembirakan hati penjawat awam kita yang selama ini membantu kelancaran dasar negeri.
“Diharap, bonus yang diterima akan mengurangkan kos sara hidup para penjawat awam kita dan dibelanjakan secara berhemah,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.
Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri atas pengumuman bantuan kewangan itu pada persidangan (DUN) baru-baru ini.
Mohd Zainorin Arshad