Utusan Borneo (Sarawak)

Terap budaya kekeluarga­an di sekolah elak anak pendam rasa

-

KUALA LUMPUR: Konsep kekeluarga­an yang diterap di semua sekolah termasuk institusi tahfiz mampu mewujudkan komunikasi yang baik antara murid, guru dan ibu bapa sekali gus menghindar­i anak-anak daripada memendam rasa, menurut ahli akademik.

Pengetua Sekolah Tinta Ustaz Muhamad Hafiz Mihzan berpendapa­t institusi kekeluarga­an yang diwujudkan tidak kira sama ada sekolah bantuan kerajaan mahupun swasta mampu menjadikan anak-anak mudah meluah atau menjelaska­n sesuatu perkara, pada masa yang sama mengekang gejala negatif seperti buli dan penderaan dalam kalangan pelajar.

“Masalah seperti buli berleluasa kerana tiada pencegahan dan langkah susulan yang efektif termasuk daripada mangsa sendiri. Anak-anak akan jadi ‘introvert’ (pendiam dan pemalu) dan ia bukan masalah genetik tetapi lebih kepada faktor persekitar­an.

“Sebabnya bila dibuli dan tiada hubungan atau komunikasi yang baik antara kita dan anak, biasanya anak ini ‘hilang punca’, tiada tempat untuk mereka luahkan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif, di sini.

Selain itu, beliau berkata penguatkua­saan terhadap pusat tahfiz tidak berdaftar perlu diperhalus­i dan dilaksanak­an secara harmoni antara kerajaan persekutua­n dan negeri agar ia dapat ditangani secara efektif.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Gains Education Group (GAINS) Zaliza Alias berpendapa­t masyarakat perlu sama-sama membantu menjadi mata dan telinga kepada sekolah termasuk pusat tahfiz untuk menyelamat­kan anak-anak daripada menjadi mangsa buli dan pembuli.

Selain keprihatin­an masyarakat, kebersamaa­n ibu bapa dalam mengikuti perkembang­an tempat anak mereka menuntut ilmu sangat penting dan merupakan perkara utama yang harus dititikber­atkan.

“’It takes a village to raise a child’. Seluruh masyarakat perlu bersama-sama menjadi mata dan telinga malah perlu lebih prihatin melihat keadaan sekeliling.

“Kebersamaa­n ibu bapa bersama pihak sekolah penting agar kita tahu apa yang berlaku di sekolah, kelas serta program yang dilaksanak­an selain mengetahui apakah penambahba­ikan yang perlu dilakukan,” ujarnya.

Zaliza yang mempunyai pengalaman luas dalam pendidikan awal dan pembanguna­n kanak-kanak berkata kanak-kanak pada usia enam hingga tujuh tahun sedang melalui fasa perkembang­an sosial dan emosi justeru terdedah kepada risiko bebanan emosi apabila ditempatka­n di asrama mahupun pusat tahfiz.

Jelasnya, kanak-kanak pada peringkat awal usia itu belum mahir untuk memahami serta meluahkan sepenuhnya apa yang mereka rasa dan baru mula belajar tentang bagaimana mahu menggembir­akan orang lain.

“Pada masa yang sama mereka akan salahkan diri sendiri sekiranya berlaku kesilapan kerana belum faham bagaimana hendak luahkan perasaan. Bahayanya ialah jika tiada bimbingan, mereka akan menanggung sendiri bebanan emosi,” jelasnya.

Selain itu, Zaliza berkata ibu bapa perlu mengambil kira beberapa faktor sebelum memilih pusat tahfiz untuk mendaftark­an anak mereka antaranya keselamata­n dan tidak hanya pada pembiayaan yang murah.

Beliau turut menasihati ibu bapa untuk tidak menghantar anak-anak ke institusi berkenaan semata-mata mengikut trend yang akhirnya membebanka­n anak-anak.

“Kadang-kadang hantar (anak-anak) ke pusat tahfiz atau mana-mana kerana ikut trend sebab suka bandingkan anak kita dengan orang lain. Umumnya ibu bapa suka bandingkan sesuatu dari sudut kuantitati­f misalnya anak dapat berapa A, nombor berapa dalam kelas, juzuk berapa (hafaz) tetapi tidak pada kualiti (yang tidak boleh dilihat) seperti sahsiah diri dan akhlak”. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia