Utusan Borneo (Sarawak)

Ketua PBB hantar utusan khas peribadi ke Bolivia

-

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan BangsaBang­sa Bersatu (PBB) Antonio Guterres kelmarin menghantar utusan khas peribadi ke Bolivia bagi menawarkan bantuan badan dunia itu ekoran peletakan jawatan Presiden Evo Morales, lapor agensi berita Xinhua.

“Setiausaha Agung meminta Jean Arnault menjadi utusan peribadiny­a bersama pegawai Bolivia lain bagi menawarkan bantuan PBB mencari penyelesai­an aman terhadap krisis itu.

“Ia termasuk membantu pilihan raya menyeluruh, telus dan berwibawa,” kata jurucakap Guterres, Stephane Dujarric.

Beliau berkata, peneraju badan dunia itu amat gusar terhadap perkembang­an di Bolivia dan mengulangi rayuannya kepada seluruh rakyat negara itu supaya mengelak keganasan dan mencari penyelesai­an aman.

Arnault adalah bekas pegawai khas setiausaha agung itu untuk negara Colombia. Beliau juga menjadi wakil khas setiausaha agung ke Georgia, Afghanista­n, Burundi dan Guatemala.

Bolivia huru-hara ekoran bantahan antikeraja­an sejak Morales memenangi pilihan raya presiden buat kali keempat pada 20 Oktober lalu.

Parti pembangkan­g enggan mengiktira­f keputusan pilihan raya itu kerana mendakwa pengundian dicemari penipuan.

Morales mengumumka­n peletakan jawatan pada Ahad lalu selepas tentera menuntut beliau melepaskan kerusinya.

Beliau tiba di Mexico pada Selasa selepas negara itu meluluskan permohonan suaka politik. Pada sidang khas Senat pada Selasa yang tidak disertai anggota Parti Pergerakan Kearah Sosialis (MAS) yang memerintah, senator pembangkan­g, Jeanine Anez, mengambil alih kerusi presiden Senat yang membolehka­nnya mengisytih­ar dirinya sebagai presiden sementara Bolivia.

Anez mengambil alih kuasa di Senat meskipun beliau tidak mempunyai cukup korum bagi membolehka­n pelantikan­nya disahkan.

Katanya, kekurangan korum dewan Senat adalah disebabkan ketidak hadiran anggota Senat dari Parti MAS yang memiliki suara majoriti di parlimen.

Pemimpin Kongres daripada MAS, Betty Yaniquez, menyifatka­n tindakan Anez sebagai menyalahi undangunda­ng. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia