Utusan Borneo (Sarawak)

Bebas tuduhan BAFIA, Rafizi tiada hasrat kembali aktif berpolitik

-

SHAH ALAM: Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli tidak berhasrat untuk kembali ke arena politik negara dalam masa terdekat, selepas dibebaskan dan dilepaskan daripada sabitan dan hukuman mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA), oleh Mahkamah Tinggi Shah

Alam semalam.

Katanya, beliau kini lebih selesa untuk meluangkan masa bersama keluarga dan mahu kembali menjadi seperti rakyat biasa.

“Saya tidak berminat (untuk kembali aktif berpolitik) buat masa sekarang. Ramai yang kurang faham (bahawa) medan politik mengambil masa dan tenaga yang cukup banyak daripada saya dan keluarga saya.

“Saya memang sebut dari awal yang saya tidak berminat untuk ada jawatan dalam kerajaan atau awam. Saya rasa dalam tempoh tiga ke empat tahun ini, saya mahu menjadi rakyat biasa sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaska­n Mohd Rafizi daripada pertuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA), sekali gus mengetepik­an sabitan dan hukuman 30 bulan penjara dikenakan terhadapny­a tahun lepas.

Turut dilepas dan dibebaskan mahkamah tersebut daripada pertuduhan sama, bekas kerani bank, Johari Mohamad.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk kembali membantu Presiden PKR,

Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kancah politik negara, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, ia terpulang kepada ketuanya.

“Itu hak beliau (Anwar). Saya rasa kawan-kawan dalam PKR dan Anwar sendiri serba tahu, bahawa apabila saya meninggalk­an dunia korporat kira-kira 10 atau 11 tahun lepas, saya tidak pernah ada tujuan untuk menjawat jawatan lain dan sebagainya.

“Kami ada misi pada masa itu iaitu kita boleh tukar kerajaan. Dahulu orang kata jika tukar kerajaan akan kiamat, sekarang terbukti tidak kiamat,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia