Utusan Borneo (Sarawak)

Skandal 1MDB: Permohonan Najib dan keluarga periksa barang disita didengar 31 Januari 2020

-

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 31 Januari tahun depan bagi mendengar permohonan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta anak perempuan mereka untuk membuat pemeriksaa­n fizikal terhadap barangan yang disita Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes berkenaan yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof dan peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, mewakili Najib, manakala Azamuddin Abd Aziz dan Hasmadi Hussin bertindak bagi pihak Rosmah serta Nooryana Najwa.

Mahkamah memerintah­kan pemohon (Najib, Rosmah dan Nooryana) memfailkan afidavit tambahan sebelum atau pada 28 Nov manakala hujahan difailkan pada 12 Dis ini.

Pada 14 Okt lepas, pihak pendakwaan bersetuju untuk memberikan salinan gambar 315 beg tangan pelbagai jenama yang disita oleh SPRM kepada Najib dan keluargany­a.

Pada 18 Julai, Najib, 66, memfailkan notis usul bagi mendapatka­n butiran lengkap dan memeriksa barangan yang disita SPRM termasuk 315 beg tangan pelbagai jenama dan wang tunai pelbagai mata wang asing kepada Najib serta keluargany­a.

Dalam notis usul itu, Najib memohon supaya responden (pendakwaan) membekalka­n atau menzahirka­n gambar berwarna, berserta deskripsi lengkap seperti label, lambang, kad hadiah, bungkusan dan kotak yang dijumpai bersama dengan harta alih yang disita pada 17 Mei tahun lepas.

Najib memfailkan permohonan itu atas alasan sebahagian daripada kandungan kotak, beg serta bekas simpanan yang menjadi sebahagian daripada harta alih yang dirampas, telah dikeluarka­n daripada bungkusan asalnya dan ia menyebabka­n kekeliruan bagi membuat pengecaman terhadap harta alih berkenaan.

Rosmah, 68, dan Nooryana, 31, pula memohon supaya diberi kebenaran untuk membuat pemeriksaa­n fizikal dan meneliti harta alih yang disita itu.

Menurut kedua-dua notis usul itu, antara barangan yang dirampas ialah 315 beg tangan pelbagai jenama, 14 utas jam dan 27 pasang kasut pelbagai jenama, serta wang tunai pelbagai mata wang asing antaranya membabitka­n wang tunai RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750 dan Pound Sterling 320,500. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia