Kaji semula lokasi pusat kuarantin COVID-19 di Batang Ai, Engkilili
LUBOK ANTU: Penduduk Engkilili dan Batang Ai kini resah dan bimbang setelah mengetahui bahawa Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai dan Rumah Rehat Pejabat Daerah Kecil Engkilili dicadangkan sebagai lokasi pusat kuarantin COVID-19.
Keresahan itu wajar kerana ramai penduduk merupakan warga tua yang berisiko tinggi dijangkiti virus berkenaan, kata Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang dalam kenyataannya di sini, semalam.
“Masyarakat sekitar lokasi memang rapat dan sebelum berlakunya krisis COVID19, kawasan sekitar sentiasa penuh dengan pelbagai aktiviti serta perayaan dan pelbagai mesyuarat di dewan orang ramai.
“Keadaan ini seolah-olah menyalahkan penduduk kawasan tersebut, mereka dihukum dengan tanpa ada perbincangan dan tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku.
“Kita amat menitikberatkan soal kesihatan, kesejahteraan dan keselamatan penduduk di kawasan sekitar yang terlibat dan implikasi psikologi kesan daripada pusat kuarantin tersebut amatlah besar,” katanya.
Penempatan 20 orang di bawah penyiasatan (PUI) dan orang di bawah pemerhatian (PUS) di Pusat
Khidmat Masyarakat Ahli ADUN Batang Ai telah mendatangkan kegusaran masyarakat rumah panjang sekitar memandangkan lokasi tersebut adalah laluan utama ke hulu sungai dan kawasan aktiviti penternakan ikan sangkar.
Jugah berkata, seharusnya tindakan menangani pandemik COVID-19 wajar dibawa ke meja rundingan dengan ketua masyarakat, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen untuk konsensi bersama supaya keputusan terbaik meliputi semua pihak yang terlibat dapat dicapai melalui perbincangan.
“Kita harus mendengar suara daripada ketua masyarakat yang mewakili suara rakyat bawahan supaya kita tahu, sedar betapa besarnya keputusan yang dibuat dan keputusan ini juga melibatkan soal nyawa manusia.
“Saya selaku Ahli Parlimen
Lubok Antu menggesa keputusan meletakkan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batang Ai dan Rumah Rehat Pejabat Daerah Kecil Engkilili sebagai lokasi pusat kuarantin wajar ditarik semula.
“Ini setelah melihat dari sudut kelengkapan perubatan, jumlah pekerja yang terlibat, kepakaran yang bakal memantau pusat kuarantin tersebut amatlah menyedihkan dan sukar diterima ketika kita bercakap soal hidup atau mati,” tambahnya.
“Oleh itu, bagi saya yang amat menitikberatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Lubok Antu, saya membantah sekeras-kerasnya Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batang Ai dan Rumah Rehat Pejabat Daerah Kecil Engkilili dicadangkan sebagai lokasi bagi pusat kuarantin,” ujar Jugah.
Beliau amat berharap agar keputusan meletakan pusat kuarantin di lokasi tersebut dapat ditarik semula demi mengekalkan tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat Lubok Antu yang kini masih bebas daripada sebarang jangkitan COVID-19.
“Setakat ini kita amat menghargai dan berterima kasih terhadap kerjasama daripada semua pihak yang telah cemerlang patuh kepada peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dijalankan dari 18 Mac hingga sekarang,” ujarnya.