Pekerja BDR perlu terus proaktif sepanjang PKP: Dr Zaini Ujang
KUALA LUMPUR: Mereka yang bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini perlu terus berfikiran dan bertindak proaktif dalam menyelesaikan tugas rutin harian.
Perkara itu disarankan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar Datuk Seri Dr Zaini Ujang yang turut berkata peranti mudah alih boleh dijadikan alat untuk membantu dan memudahcara tugasan yang perlu diselesaikan walaupun hanya dari rumah.
“Ketika ini hampir semua warga kerja ada peranti mudah alih. Misalnya bagi seorang pembantu tadbir atau setiausaha pejabat, mereka boleh menggunakan peranti mudah alih mereka untuk mengemaskinikan jadual kerja sesebuah jabatan yang tertangguh dan mencadang beberapa tarikh alternatif.
“Ataupun mereka boleh menyiapkan surat tertentu yang diarahkan oleh majikan, selain boleh turut menyediakan template surat untuk pelbagai urusan, justeru penggunaan peranti ini pasti banyak memudahkan urusan mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama, pada Selasa.
Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia itu turut mencadangkan supaya pekerja BDR perlu menjadi insan yang sentiasa berfikir dan melakukan gerak kerja, serta memanfaatkan peluang di sebalik pandemik COVID-19.
“Orang yang proaktif akan berfikiran, “apa alternatif lain yang boleh saya lakukan untuk saya menyelesaikan tugasan saya?” dan “saya boleh guna kaedah lain misalnya menggunakan peranti mudah alih untuk menulis surat dan bermesyuarat”, ini cara pemikiran yang boleh diamalkan pekerja BDR,” jelas Zaini.
Bagi mengelakkan rasa bosan atau mengantuk ketika BDR, Zaini mencadangkan supaya pekerja BDR boleh menjadikan ruang kerja mereka di rumah sentiasa ceria, segar dan memotivasikan.
“Kalau selama ini anda bekerja di sudut baca, cuba tambah perabot atau pencahayaan. Selain faktor minda proaktif, pekerja BDR juga tidak seharusnya hanya duduk di kerusi sebaliknya di selang-seli dengan berdiri supaya tidak jemu dan mengantuk. Kalau anda sering minum kopi jam 10 pagi di pejabat sebagaimana tradisi di Sweden, maka berehatlah 10 pagi dan bersama menceriakan ahli keluarga,” katanya.
Semalam adalah hari pertama bagi fasa kedua PKP yang mana ia akan berakhir pada 14 April ini, dan ia sudah diwartakan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 432). — Bernama