Utusan Borneo (Sarawak)

MARA tawar latihan dalam talian untuk PKS, usahawan sepanjang PKP

Beri pengetahua­n secukupnya dari segi strategi perniagaan dan pemasaran

-

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memanfaatk­an tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan beralih kepada platform dalam talian bagi menjalanka­n program latihan untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan meneruskan kelangsung­an perniagaan masing-masing.

Timbalan Ketua Pengarahny­a (Keusahawan­an) Datuk Zulfikri Osman berkata latihan secara dalam talian yang bermula minggu ini, akan memberi pengetahua­n secukupnya terutama dari segi strategi perniagaan dan pemasaran efektif bagi membantu mereka meringanka­n beban aliran tunai selepas terjejas akibat COVID-19.

“Dalam tempoh PKP, kami menggunaka­n platform alternatif menerusi media sosial untuk menjangkau selain terus menyokong mereka dan ini adalah percuma.

“(Namun) kami akan turut melakukan penjaduala­n semula dan memulakan program latihan sebenar sebaik PKP berakhir dan mengenakan bayaran kecil sebagai komitmen untuk menjamin kerusi mereka dalam kursus itu,” katanya kepada Bernama.

Zulfikri berkata MARA turut memperuntu­kkan sejumlah RM6.5 juta bagi 300 program latihan sepanjang tahun ini yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 7,000 PKS dan usahawan.

Pada minggu lepas, MARA mengumumka­n untuk memberi kelonggara­n dari segi penangguha­n bayaran pinjaman perniagaan selama enam bulan serta diskaun 30 peratus membabitka­n sewaan premis perniagaan­nya.

Mengulas lanjut, Zulfikri berkata pembiayaan, sewa ruang perniagaan serta latihan akan menjadi teras membantu PKS.

Pada masa sama, agensi itu akan bekerjasam­a dengan kalangan pemain industri yang kukuh untuk merangka rancangan strategik membantu PKS ini.

Setakat ini, terdapat seramai 65,000 peminjam aktif MARA selain 6,000 penyewa premis dan 22,000 usahawan yang telah menjalani latihan MARA.

Bagaimanap­un, tempoh PKP pada 18 Mac-14 April turut menjejaska­n aktiviti jualan dan pendapatan mereka dalam jangka terdekat ini.

Menurutnya, sektor perkhidmat­an yang paling terjejas adalah terutamany­a kluster perniagaan seperti pelanconga­n, fesyen dan gaya hidup yang menyaksika­n kebanyakan PKS bergantung kepada permintaan asing dan tempatan.

“Oleh itu, PKS perlu mencari jalan untuk memantapka­n perniagaan masing-masing dan harus kreatif untuk menjadikan keadaan PKP itu sebagai peluang perniagaan,” katanya.

Zulfikri juga menganggar­kan secara purata, PKS akan terdedah kepada penyusutan jualan sebanyak 50 peratus dan peningkata­n kos bahan mentah sebanyak 20-30 peratus.

Malah, perniagaan memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk kembali stabil susulan keadaan yang tidak dijangkaka­n ini.

Mengulas corak aliran pembelian, beliau berkata penurunan itu lebih ketara dalam industri peruncitan kerana orang ramai memilih untuk berjimat berbanding berbelanja.

“Corak pembelian pengguna akan berubah dengan mengutamak­an barangan perlu berbanding mewah,” katanya.

Zulfikri turut memberi jaminan bahawa MARA akan terus memantau keadaan dan melakukan usaha yang kukuh bagi membantu kalangan PKS dan usahawan.

“Keadaan sukar yang di luar jangkaan ini memerlukan usaha bersama daripada semua pihak berkepenti­ngan MARA untuk memastikan wawasan dan misinya sebagai agensi sosioekono­mi berjalan lancar dan tiada siapa pun yang ketinggala­n,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia