California akan bebas awal 3,500 banduan tidak ganas
LOS ANGELES: Sistem penjara di negeri terbesar Amerika Syarikat (AS), California, merancang untuk membebaskan awal kira-kira 3,500 banduan yang tidak ganas bagi mengurangkan penularan penyakit COVID-19, kata pegawai kelmarin.
Jabatan Penjara dan Pemulihan California (CDCR) berkata kumpulan banduan pertama yang dibebaskan adalah mereka yang mempunyai baki tempoh hukuman tidak sampai 30 hari, diikuti mereka yang ada baki tempoh hukuman tidak sampai 60 hari.
Bidang kuasa lain di AS, termasuk negeri New Jersey dan beberapa bandar raya lain, sudah mengumumkan langkah yang sama.
Ketua Peguam Negara AS Bill Barr pada minggu lepas berkata beliau mengarahkan penjara persekutuan untuk membebaskan beberapa banduan bagi mengurangkan impak pandemik, dan mungkin 2,000 banduan layak dibebaskan.
“Kami tidak memandang ringan langkah baharu ini,” Ralph Diaz, selaku setiausaha agensi penjara California menyebut dalam satu kenyataan.
“Komitmen pertama kita di CDCR adalah memastikan keselamatan – kakitangan kita, populasi banduan, orang lain di dalam institusi kita, dan masyarakat umumnya,” tambahnya.
“Bagaimanapun, ketika berdepan dengan pandemik global, kita mesti menimbang risiko jangkitan COVID-19 sebagai satu ancaman serius kepada keselamatan juga.”
Pihak berkuasa berkata pembebasan awal itu akan meningkatkan kapasiti dan ruang fizikal di penjara kerajaan negeri di mana 22 pekerja dan empat banduan diuji positif bagi virus tersebut.
Penjara sudah melaksanakan langkah lain untuk mencegah penularan virus, termasuk saringan perubatan mandatori bagi sesiapa sahaja yang memasuki institusi berkenaan dan penggantungan lawatan.
Banduan ditawarkan panggilan telefon percuma tambahan kepada orang yang mereka sayangi untuk menggantikan kehilangan hak lawatan mereka.
Langkah pembebasan awal itu tidak diterima baik oleh semua orang. Seorang pendakwa raya berkata ia akan meletakkan semula penjenayah berbahaya di tengahtengah masyarakat.
“Ini akan menjadi lereng yang licin bagi semua orang,” kata Peguam Daerah Orange County Todd Spitzer kepada media tempatan.
“Jika mereka melakukannya pada peringkat negeri, mereka akan melakukannya di penjara daerah. Sebab itulah penjualan senjata api meningkat.”
Dalam usaha untuk membataskan penularan COVID19 di dalam penjara, Syerif Los Angeles County Alex
Villanueva sudah pun mengarahkan pembebasan kirakira 1,700a banduan dari penjara tempatan, dan meninggalkan kira-kira 15,000 orang dikurung dalam kemudahan tersebut.
Rumah pasung (jail) di AS biasanya menempatkan orang yang menunggu perbicaraan atau menjalani hukuman singkat bagi kesalahan kecil.
Penjara (prison) merupakan kemudahan jangka lebih panjang yang menahan penjenayah dan orang yang menjalani hukuman melebihi satu tahun.
Sheila Kuehl, seorang ahli Lembaga Penyelia Los Angeles dan penulis bersama satu usul untuk meminta pegawai kesihatan menilai keadaan dalam penjara daerah, berkata kelmarin bahawa perbincangan sedang dijalankan untuk membebaskan semua orang dengan baki hukuman penjara tidak sampai enam bulan.
Bagaimanapun beliau mengakui kebimbangan mengenai keselamatan orang awam perlu dipertimbangkan.
Seorang lagi penyelia Kathryn Barger berkata beliau mahu memastikan banduan yang dibebaskan ada tempat untuk dituju tetapi menyokong seruan untuk mengurangkan populasi penjara.
“Dengan memulakan pengurangan populasi, saya tahu kita menyelamat nyawa,” katanya pada mesyuarat lembaga kelmarin. — AFP