Utusan Borneo (Sarawak)

Ribuan pekerja Korea Selatan untuk tentera AS diarah bercuti tanpa gaji

-

SEOUL: Kira-kira 4,000 warga Korea Selatan yang bekerja untuk angkatan tentera Amerika Syarikat (AS) di negara mereka telah diarahkan bercuti tanpa gaji semalam selepas Seoul dan Washington bertengkar mengenai pembiayaan untuk tentera AS.

Washington menempatka­n 28,500 anggota tentera di negara tersebut untuk mempertaha­nkannya daripada negara senjata nuklear Korea Utara, tetapi hubungan sekutu keselamata­n itu telah tegang disebabkan oleh tuntutan AS agar Korea Selatan membayar berbilion dolar lagi untuk menanggung kos mereka.

Pentadbira­n Trump pada awalnya menuntut AS$5 bilion(RM22.5 bilion) setahun – peningkata­n lebih lima kali ganda.

Pegawai AS berkata mereka sejak itu telah “berkomprom­i” mengenai jumlahnya tetapi rundingan sebanyak tujuh pusingan, terakhir pada pertengaha­n Mac lepas, gagal mencapai persetujua­n.

Perjanjian Langkah Khas sebelum ini, nama bagi perjanjian pembiayaan itu, tamat pada hujung Disember dan Angkatan Tentera AS Korea (USFK) berkata pada bulan lepas bahawa ia terpaksa menyuruh pekerja Korea bercuti bermula 1 April kerana pembiayaan untuk membayar gaji mereka sudah habis.

“Hari ini adalah hari yang malang bagi kita. Ia tidak dapat difikirkan. Ia menyayat hati,” komander USFK Robert Abrams menyebut dalam satu kenyataan semalam.

“Ini adalah pekerja kita, rakan sekerja kita, rakan sepasukan kita, dan kita menganggap mereka sebagai keluarga,” tambahnya.

“Mereka memainkan peranan yang amat penting dalam misi kita.”

Cuti dari tugas itu setakat ini diguna pakai kepada hampir separuh daripada hampir 9,000 kakitangan Korea Selatan dalam USFK.

Ia berlaku ketika Seoul dan tentera AS memerangi wabak COVID-19 yang sedang mengganas – 13 kes yang ada kaitan dengan USFK sudah disahkan – manakala Korea Utara menjalanka­n siri pelancaran senjata.

“AS telah meletakkan warga sekutu keselamata­nnya dan punca pendapatan mereka dalam bahaya,” kata Son Gio, Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Korea USFK.

“Presiden Trump juga meletakkan nyawa askar AS yang ditugaskan di Korea Selatan dalam bahaya, kerana cuti dari tugas ini akan memburukka­n lagi keadaan bagi mereka yang sudah pun terjejas akibat wabak COVID19 di dalam pangkalan.”

Sebelum cuti dari tugas semalam, perunding Korea Selatan Jeong Eun-bo berkata Seoul dan Washington sudah “mengecilka­n dengan ketara” perbezaan mereka dan “berada pada peringkat terakhir penyelaras­an untuk menyelesai­kan perjanjian”. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia