COVID-19: Pulau Pinang lancar ruang pembasmian kuman mudah alih
BALIK PULAU: Pertubuhan Usahawan Industri Desa Pulau Pinang semalam melancarkan projek pertamanya membabitkan Ruang Pembasmian Kuman Mudah Alih (MDC) di pasar Balik Pulau bagi memerangi wabak COVID-19.
Setiausaha agungnya, John Ooh Sin Hwa berkata, inisiatif itu yang disediakan secara percuma melibatkan perkhidmatan penyah kuman untuk seluruh badan kepada orang ramai yang berulang-alik dari rumah ke pasar berkenaan.
“Kami yakin langkah ini adalah yang pertama seumpamanya di Pulau Pinang dan mungkin di Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Menurut beliau, MDC beroperasi secara automatik dengan penggera bagi mengaktif dan menghentikan penyemburan menerusi ruang berkenaan.
Beliau berkata, ide untuk menyediakan MDC itu diilhamkan dari China, yang mana ruang yang seumpama digunakan untuk menyah kuman penduduk di sana.
“Kami mengambil masa tiga hari untuk memasang MDC dengan kos kira-kira RM4,000. Bagaimanapun, cabaran terbesar yang kami hadapi bagi projek ini ialah mendapatkan bahan mentah untuk pembinaannya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerana bagi mendapatkan bahan yang diperlukan agak sukar dan mahal,” katanya.
Walaupun Ooh merancang untuk membuat lebih banyak MDC untuk lokasi awam yang lain bagi faedah lebih ramai orang, beliau berharap agar mendapat lebih banyak sumbangan untuk mencapai tujuan itu.
Beliau berkata, sumbangan itu boleh dimasukkan ke akaun pertubuhan itu di Hong Leong Bank (2440000-1564), di bawah nama ‘Pertubuhan Usahawan Industri Desa Pulau Pinang’. — Bernama