Pemilik Fiorentina, Torino jangkakan musim Serie A tidak akan ditamatkan
ROM, Itali: Pemilik kelab Fiorentina dan Torino berkata dalam temu bual berasingan Isnin lepas di mana mereka percaya musim Serie A Itali 2019/2020 tidak dijangka akan ditamatkan ekoran pandemik koronavirus (COVID-19).
Itali, negara paling terkesan teruk dari COVID-19 dengan jumlah lebih dari satu pertiga angka keseluruhan kematian di seluruh dunia, melihat jumlah kematian di negara itu meningkat melebihi 12,000 orang pada hari Selasa.
Itali sudah berada dalam perintah berkurung selama tiga minggu dan Serie A, seperti pertandingan bola sepak lain di seluruh dunia, terhenti ketika ini dengan tiada gambaran jelas bila ia akan disambung semula.
“Mari kita bercakap tentang kesihatan sekarang, selepas itu tentang bola sepak,” kata pemilik Fiorentina, Rocco Commisso ketika memberitahu penyiaran RAI dalam satu temu bual radio.
“Kita akan lihat jika kita dapat kembali menjalani latihan. Tetapi ada kemungkinan serius di mana musim ini tidak akan berakhir.”
Pemilik kelab Torino, Urbano Cairo, berkata walaupun jika pasukan dapat kembali berlatih pada bulan Mei, mungkin tidak ada banyak masa untuk menamatkan musim.
“Ia bermakna memulakan latihan pada akhir bulan Mei dan kemudian memulakan perlawanan pada akhir bulan Jun, bermain pada bulan Julai dan Ogos,” kata beliau.
“Selepas itu semua orang berehat selama sebulan, satu bulan untuk berlatih dan anda tidak akan memulakan musim baharu sebelum bulan November. Ia tidak dapat dilakukan.”
Beliau sekali lagi membantah mengisytiharkan pemenang liga jika musim tidak dapat ditamatkan.
“Ia tidak harus ditentukan pemenang kerana musim tidak dapat ditamatkan dan ada tiga pasukan bersaing sengit ketika ini,” kata beliau.
Juventus mendahului Serie A Itali dengan 63 mata, satu mata di hadapan Lazio dan sembilan mata di hadapan Inter Milan yang kurang satu perlawanan.— AFP