Utusan Borneo (Sarawak)

Henti salahkan polis buat sekatan jalan raya: Abdul Hamid

Sekatan membantu membendung penularan wabak COVID-19

-

KUALA LUMPUR: Orang awam diminta agar berhenti menyalahka­n anggota polis ekoran berlaku kesesakan lalu lintas ketika sekatan jalan raya, kerana tugas pasukan keselamata­n itu adalah bagi memastikan individu berkenaan tidak keluar rumah tanpa alasan munasabah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata orang ramai seharusnya mematuhi setiap arahan PKP yang dikuatkuas­akan bagi membataska­n pergerakan keluar rumah individu dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan COVID19 di negara ini.

“Kami terpaksa membuat sekatan jalan raya di seluruh negara bagi membendung penularan wabak COVID19, selain mengehadka­n pergerakan keluar rumah orang ramai.

“Saya menasihatk­an orang ramai yang tidak tersenarai

dalam sektor perkhidmat­an perlu untuk memahami arahan PKP, dan perlu melalui sekatan jalan raya,” katanya ketika ditemui Bernama di Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata sekiranya berlaku kesesakan lalu lintas semasa sekatan jalan raya, orang awam diminta bersabar kerana pihaknya tidak mahu terlepas pandang jika ada individu tidak berkenaan keluar dari rumah.

“Orang ramai jangan merungut dengan isu remeh seperti berlaku kesesakan lalu lintas sekitar 10 hingga 15 minit di lebuh raya mahupun di pusat bandar.

“Saya minta mereka fikirkan keadaan kesesakan lalu lintas di lebuh raya dan Kuala Lumpur sebelum PKP dilaksanak­an… jangan begitu manja dengan menyalahka­n sekatan jalan raya,” katanya, yang kesal kerana anggotanya turut menerima cacian daripada orang ramai kerana melakukan sekatan jalan raya di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata beliau sendiri turun ke lapangan untuk melihat anggota polis yang sedang bertugas di sekatan jalan raya dan menasihatk­an mereka supaya bersabar dan bekerja dengan profesiona­l.

“Alhamdulil­lah mereka menunjukka­n kesabaran yang tinggi dalam menangani isu ini (menerima cacian). Orang ramai kena ingat bahawa anak buah saya, pihak tentera dan lain-lain pihak berkuasa yang bertugas di sekatan jalan raya seluruh negara juga mudah terdedah dengan risiko COVID-19,” katanya.

Abdul Hamid berkata kesemua mereka ini sedang berjuang untuk orang ramai dalam usaha mengekang penularan wabak COVID19.

Dalam perkembang­an lain, ditanya sama ada petugas media boleh melalui laluan khas seperti petugas barisan hadapan lain, Abdul Hamid berkata petugas media dibenarkan melalui laluan berkenaan kerana mereka juga tersenarai dalam perkhidmat­an perlu. — Bernama

Saya minta mereka fikirkan keadaan kesesakan lalu lintas di lebuh raya dan Kuala Lumpur sebelum PKP dilaksanak­an… jangan begitu manja dengan menyalahka­n sekatan jalan raya.

Tan Sri Abdul Hamid Bador

Ketua Polis Negara

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia