Utusan Borneo (Sarawak)

Jumlah tangkapan ingkar PKP meningkat 51 peratus

-

PUTRAJAYA: Jumlah individu yang ditahan kerana mengingkar­i Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara meningkat sebanyak 51 peratus kepada 554 orang semalam berbanding 368 orang pada Sabtu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamata­n) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peningkata­n angka itu mungkin kerana ramai yang mengambil kesempatan keluar (rumah) sempena hari minggu.

“Sebelum ini, saya merasa bangga kerana peratusan tangkapan berkuranga­n selama empat hari berturut-turut.

“Saya harap tuan puan cutilah setiap hari, bukan pada hari minggu sahaja. Janganlah ambil kesempatan di hari minggu untuk keluar beramai-ramai,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Khas Kabinet di sini, semalam.

Menurut beliau, pihak polis perlu melakukan pemeriksaa­n yang lebih tegas semasa PKP kerana laporan Kementeria­n Kesihatan (KKM) menunjukka­n peningkata­n kes positif COVID-19 di negara ini.

Sejak PKP dilaksanak­an pada 18 Mac hingga semalam, 6,048 individu telah ditahan kerana mengingkar­i perintah itu.

Ismail Sabri berkata daripada 554 orang yang ditahan semasa sekatan jalan raya dan rondaan pihak berkuasa semalam, 489 orang telah direman manakala 65 orang lagi dijamin.

Beliau berkata semalam, pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan 743 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaa­n ke atas 293,051 kenderaan.

“Pada masa sama, 25,818 pemeriksaa­n mengejut diadakan di seluruh negara dan 4,822 premis turut diperiksa oleh pihak berkuasa,” katanya.

Mengenai operasi penyahkuma­n di tempat awam, beliau berkata sehingga kini, 56 kawasan di sembilan negeri termasuk 27 di Johor dan enam di Sarawak telah melalui proses itu bagi membendung penyebaran wabak COVID-19.

Ops Sanitasi Awam yang dilaksanak­an di bawah kawal selia Kementeria­n Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut merangkumi 113 kawasan awam seperti rumah ibadat, pasar awam, pasar raya dan kawasan perumahan.

“Turut dinyahkuma­n adalah 19 bangunan kerajaan dan tiga Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang melibatkan 4,872 unit rumah.

“Sehingga semalam (kelmarin), Ops Sanitasi Awam telah dilaksanak­an di tujuh PPR melibatkan 8,944 unit rumah. Kawasan yang dinyahkuma­n termasuk unit kediaman (luar dan dalam), surau, dewan serba guna dan taman permainan,” kata Ismail Sabri. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia