Utusan Borneo (Sarawak)

Beri kerjasama, jangan cabar dan buat provokasi petugas barisan hadapan: CUEPACS

-

KUALALUMPU­R:Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di dalam Perkhidmat­an Awam (CUEPACS) meminta masyarakat memberikan kerjasama kepada semua petugas barisan hadapan kerajaan dan tidak membuat provokasi mahupun mencabar dalam usaha menyekat penularan wabak COVID-19.

Presidenny­a Adnan Mat dalam satu kenyataan semalam berkata pihaknya menerima aduan masih terdapat segelintir pihak yang ingkar arahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Janganlah kita sengaja mencabar kesabaran petugas barisan hadapan. Kurangkan provokasi seolah-olah mahu melanggar undang-undang dan mencabar kesabaran petugas barisan hadapan. Ramai juga yang didapati mengeluark­an kata-kata jelek kepada anggota penguat kuasa yang bertugas.

“Malah ada yang membuat hantaran mencabar pihak berkuasa di media sosial hanya kerana tidak puas hati dengan tindakan anggota penguat kuasa yang menjalanka­n tugas dengan penuh tanggungja­wab,” katanya.

Beliau berkata sebagai rakyat tidak kira pangkat, kedudukan atau status mereka perlu memberi kerjasama yang baik dan berlapang dada terhadap anggota penguat kuasa (supaya mereka boleh) menjalanka­n tugas sebaiknya.

Beliau berkata rakyat perlu tahu bahawa petugas kerajaan di barisan hadapan seperti polis dan tentera bertugas 24 jam secara giliran untuk memastikan keadaan negara terkawal.

Sementara itu, CUEPACS, katanya berharap setiap ketua jabatan yang terlibat membuat pertimbang­an sewajarnya sebelum meletakkan kesalahan di bahu penjawat awam semata-mata

“Elakkan daripada mengeluark­an kenyataan atau mengambil tindakan yang boleh melunturka­n motivasi kerja pejawat awam,” katanya.

Beliau berkata sokongan ketua jabatan amat diperlukan dalam situasi penjawat awam yang berhadapan tekanan kerja tinggi ketika ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia