Utusan Borneo (Sarawak)

Bantuan Prihatin Nasional ibarat talian hayat kepada petani

-

JITRA: Tanpa pendapatan tetap dan bergantung sepenuhnya kepada hasil tanaman, petani yang mengusahak­an sendiri tanaman mereka menjadi antara golongan yang berdepan dengan pelbagai kesukaran untuk meneruskan kelangsung­an hidup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa sejak 18 Mac lepas.

Sehubungan itu keprihatin­an kerajaan menyediaka­n pelbagai bantuan termasuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN) untuk rakyat dianggap sebagai ‘talian hayat’ yang memberikan kelegaan kepada mereka untuk mengharung­i tempoh mencabar ketika ini.

Seorang petani yang mengusahak­an tanaman padi dari Kampung Bendahara, Kodiang dekat sini, Hassan Jusoh, 57, berkata pendapatan­nya bergantung kepada hasil pengeluara­n tanaman dan hanya diperoleh selepas musim menuai, iaitu hanya dua kali setahun.

Menurut beliau, tanpa pendapatan tetap secara bulanan, kesulitan amat dirasai untuk menyediaka­n keperluan dapur dan menyara dua anaknya yang masih belajar.

“Saya petani buat padi ini memang tidak ada gaji tetap masuk. Nak sara keluarga kena juga buat kerja kampung sikit-sikit, tetapi apabila PKP ini dilaksanak­an saya memang tidak boleh buat kerja apa, kena duduk di rumah.

“Jadi, dengan adanya BPN ini dapatlah membantu saya untuk beli barang dapur dan boleh juga simpan sedikit untuk keperluan seorang anak yang masih bersekolah dan seorang lagi yang masih belajar di maktab perguruan,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Hassan yang memperoleh pendapatan sekitar RM4,000 semusim berkata beliau mempunyai lima orang anak berusia 17 hingga 26 tahun dan isterinya yang tidak bekerja juga membantu mencari pendapatan sampingan dengan menjual nasi lemak.

Sebagai golongan B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH), Hassan menerima bantuan BPN

RM1,600 dan BSH sebanyak RM600, manakala anak ketiganya juga layak menerima bantuan bujang RM800, dan anak keempat yang masih belajar di institusi pengajian tinggi menerima bantuan RM200.

Seorang lagi petani padi dari kampung yang sama, Ku Ahmad Ku Hamid, 52, pula menyifatka­n BPN sebagai rezeki tunai yang hadir tanpa diduga, terutama bagi dirinya yang sangat memerlukan sumber kewangan tambahan ketika ini.

“Dalam keadaan seperti sekarang, kita semua tidak boleh keluar mana, duduk rumah sahaja, apabila di rumah kita jadi kerap makan, boleh kata duit belanja kena keluar banyak untuk makanan, tetapi pendapatan tidak masuk, jadi dengan adanya bantuan ini saya rasa sedikit lega,” katanya yang mempunyai dua anak berusia 18 dan 21 tahun.

Ku Ahmad yang menjadi petani sejak empat tahun lepas dan memperoleh pendapatan sekitar RM4,000 semusim, layak menerima

BPN berjumlah RM1,600 dan BSH RM600.

Sementara itu, Zurin Jamaludin, 44, yang mengusahak­an tanaman padi dari Kampung Pulau Pak Ubin, di sini turut berkongsi pandangan sama dengan Ku Ahmad apabila perbelanja­annya sedikit meningkat dalam tempoh PKP ini untuk barangan makanan.

“Sebelum pelaksanaa­n PKP saya membeli barangan keperluan makanan secara harian, namun kini perlu membeli tiga hingga empat hari sekali, sekali gus memerlukan perbelanja­an besar kerana kuantiti pembelian yang banyak,” katanya.

Bagaimana pun, Zurin yang telah menjadi petani selama 15 tahun bersyukur apabila kerajaan mengumumka­n BPN selain turut layak menerima BSH berjumlah RM600 bagi menyara keluarga termasuk dua anaknya berusia 11 dan 19 tahun. Anak sulungnya juga layak menerima bantuan RM200 kerana sedang belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia