Utusan Borneo (Sarawak)

PEMILIK TERKEJUT NAMA RESTORAN HAJI SALLEH DISEBUT PM

-

KUCHING: Apabila nama restoran ayahnya disebut Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, ia menjadi kejutan yang menggembir­akan bagi Faridah Salleh, 46, yang tidak menyangka perniagaan keluargany­a mendapat perhatian perdana menteri.

Faridah mengambil alih operasi Restoran Mi Kolok Haji Salleh di sini bersama dua adiknya sejak ayah mereka, Salleh Reduan, 72, tidak lagi mampu mengendali­kan perniagaan itu berikutan faktor umur.

“Saya memang terkejut sampai menggeleta­r tadi (selepas mendengar perniagaan kami menjadi salah satu contoh) yang disebut perdana menteri dalam perutusan khas petang ini,” katanya semasa dihubungi BERNAMA.

Restoran Mi Kolok Haji Salleh menjadi contoh kedua yang diberikan oleh perdana menteri bagi menjelaska­n inisiatif-inisiatif di bawah Langkah Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkann­ya dalam perutusan itu.

Faridah tetap merendah diri biarpun Muhyiddin mengambil contoh restoran ayahnya dan menganggap ia sebagai pengiktira­fan dan keprihatin­an perdana menteri terhadap kegigihan semua usahawan di negeri ini.

Menceritak­an pengalaman­nya sejak penguatkua­saan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas, Faridah berkata perniagaan mereka amat terjejas tetapi mereka adik-beradik tetap gigih untuk meneruskan­nya dalam keadaan yang terbatas.

“Banyak kesannya (PKP kepada perniagaan) tetapi terpaksa bertahanla­h. Untung tak adalah dan hasil jualan digunakan untuk membayar gaji pekerja, membayar sewa kedai dan bil elektrik. Ini yang penting,” katanya.

Menurutnya hasil jualan juga digunakan untuk membayar pembekal bahan mentah mereka kerana ayahnya begitu tegas mengajar mereka agar tidak berhutang dengan pembekal dalam perniagaan mereka.

Selain menyatakan penghargaa­nnya dengan inisiatif-inisiatif bantuan yang diumumkan Muhyiddin itu, beliau turut berharap satu hari kelak perdana menteri akan dapat bertandang ke restoran yang terkenal dengan mi kolok dan mi sapi ini.

“Satu lagi kejutan yang saya harapkan adalah sekiranya perdana menteri tiba-tiba datang menjamu selera di sini satu hari kelak,” katanya

Faridah berkata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri sebelumnya, Allahyarha­m Pehin Sri Adenan Satem merupakan antara pelanggan tetap Restoran Mi Kolok Haji Salleh. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia