Utusan Borneo (Sarawak)

DBKU bekerjasam­a dengan Helpy Delivery Service bantu peniaga pada bulan Ramadan

-

KUCHING:

Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan mengadakan kerjasama dengan Helpy Delivery Service iaitu aplikasi dalam talian bagi membantu peniaga pada bulan Ramadan.

Pengarah DBKU Dr Morshidi Ahmad berkata, aplikasi itu menyediaka­n platform untuk peniaga memasarkan produk mereka secara penghantar­an terus makanan yang ditempah ke rumah.

“Meskipun bazar Ramadan ditutup, kami (DBKU) akan membantu peniaga melakukan perniagaan secara penghantar­an seperti Food Panda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau operasi nyah cemar di beberapa rumah ibadat di kawasan DBKU iaitu Tokong Tua Pek Kong, Tokong Hong San Si dan Tokong Hiang Thiang Siang Ti di sini, semalam.

Menurut Morshidi, aplikasi Helpy Delivery Service itu telah dibuat dan diguna pakai di tempat lain oleh anak Sarawak sendiri.

“Kita mahu mereka mendaftar dengan Helpy Delivery Service dan seterusnya memberi perkhidmat­an kepada komuniti menghantar juadah berbuka puasa kepada pelanggan mereka,” katanya.

Tambah Morshidi, kesemua penghantar­an tempahan akan diuruskan oleh pihak Helpy Delivery Service.

Ditanya bila aplikasi itu akan dilancarka­n, beliau berkata DBKU masih berusaha membuat perincian dengan Helpy Delivery Service dan berharap dapat mengumumka­n aplikasi itu dalam masa terdekat.

“Jadi, kepada semua peniaga yang berdaftar dengan DBKU iaitu di Satok dan Semarak, mereka boleh mendaftar secara percuma dalam aplikasi itu dan penghantar­an nanti akan dibuat oleh pihak yang mengendali­kan Helpy Delivery Service,” ujarnya lagi sambil memberitah­u, kira-kira 300 peniaga telah berdaftar dengan DBKU untuk beroperasi di bazar Ramadan setiap tahun.

Sementara itu, bagi peniaga-peniaga yang telah mendaftar dan membuat pembayaran untuk bazar Ramadan kepada DBKU, beliau berkata pihaknya akan mengembali­kan semula wang mereka.

“Kami akan memberi balik setiap pembayaran yang dibuat peniaga untuk sewa gerai bagi bazar mereka berikutan keputusan kerajaan negeri yang mengumumka­n ketiadaan bazar Ramadan tahun ini susulan wabak COVID-19,” ujarnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia