Utusan Borneo (Sarawak)

Suri rumah didenda RM6,000, cubit telinga bayi anak jiran

-

KUALA LUMPUR: Akibat mencubit kedua-dua belah telinga seorang bayi lelaki, anak jirannya yang berusia 10 bulan sehingga mengalami kesan lebam, seorang suri rumah didenda RM6,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Mahyon Talib menjatuhka­n hukuman itu ke atas Noor Aziana A. Samad, 33, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapny­a.

Ketika ditanya Mahyon alasan tertuduh mencubit telinga bayi berkenaan, Noor Aziana menjawab “Saya berasa geram kerana mangsa sentiasa menangis dan keadaan rumah tiada air pada masa itu”.

Ibu tiga anak itu didakwa melakukan kesalahan terhadap bayi lelaki tersebut sehingga menyebabka­n kecederaan pada kedua-dua belah telinga mangsa di sebuah rumah di Taman Melati, Wangsa Maju di sini pada 2 petang, 5 Mac lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta KanakKanak 2001 yang memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira mangsa dalam kes ini adalah bayi.

“Tindakan tertuduh mencubit telinga bayi berusia 10 bulan sehingga menyebabka­n kesan lebam adalah tidak wajar kerana mangsa tidak berdosa.

“Tertuduh mempunyai anak kecil seharusnya dia menjaga mangsa seperti anaknya sendiri dan bukannya melakukan perbuatan tersebut,” katanya.

Noor Aziana yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda dengan alasan mempunyai anak kecil berusia setahun serta dia tidak bekerja.

Berdasarka­n fakta kes, semasa pengadu iaitu ibu mangsa ingin mengambil anaknya dari rumah tertuduh terdapat kesan lebam pada kedua-dua belah telinga dan luka pada dahi serta tangan kiri mangsa.

Pengadu telah bertanya kepada tertuduh dan diberitahu anaknya yang menggigit mangsa.

Namun, selepas pengadu memberitah­u yang dia mahu membuat laporan polis, tertuduh terus mengaku mencubit mangsa kerana bayi itu menangis selain tertekan dengan keadaan di rumahnya yang tiada air selain gagal mengawal kemarahan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia