Utusan Borneo (Sarawak)

COVID-19: Kes pulih hampir 98 peratus

Lebih memberangs­angkan, semalam tiada kematian untuk 23 hari berturut-turut

-

Enam kes baharu dilaporkan, ini menjadikan jumlah kes positif COVID19 di Malaysia adalah sebanyak 8,674 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan

” kebolehjan­gkitan adalah 72 kes.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan

KUALA LUMPUR: Usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini terus menunjukka­n perkembang­an positif dengan jumlah kes yang sembuh terus meningkat kepada 8,481 atau 97.8 peratus daripada jumlah keseluruha­n kes.

Lebih memberangs­angkan, semalam juga tidak ada kes kematian dicatatkan sekali gus menjadikan jumlah maut akibat wabak itu, kekal 121 kes untuk 23 hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata semalam terdapat lima kes sembuh dan hanya enam kes baharu, dilaporkan.

“Enam kes baharu dilaporkan, ini menjadikan jumlah

kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,674 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjan­gkitan adalah 72 kes.

“Bagi kes baharu, empat adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala dua kes penularan di dalam negara. Semua kes baharu adalah warga tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Bagi kes penularan tempatan, Dr Noor Hisham menjelaska­n ia melibatkan kes saringan di tempat kerja, masing-masing satu di Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau berkata,sehingga kini hanya dua kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan masing-masing memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam perkembang­an lain, beliau berkata belum ada lagi kes penularan COVID-19 dilaporkan dalam kalangan ahli keluarga individu positif setelah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatia­n di Rumah (HSO) di rumah masing-masing, sejak 10 Jun lepas.

“Ini merupakan tanda awal yang positif dalam pelaksanaa­n HSO. Namun begitu, ini adalah tertakluk sepenuhnya kepada kepatuhan terhadap HSO yang ditetapkan,agar tidak berlaku risiko jangkitan di dalam komuniti.

“KKM (Kementeria­n Kesihatan Malaysia) menyeru pengembara yang pulang ke Malaysia supaya terus memberi kerjasama kepada KKM dan patuh kepada syarat di bawah perintah ini,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 647 kes positif COVID-19 import melibatkan kalangan pengembara termasuk rakyat Malaysia dan pemastauti­n tetap, direkodkan bagi tempoh 3 April hingga semalam.

Menerusi perintah HSO, individu yang pulang dari luar negara tidak lagi akan ditempatka­n di pusat kuarantin, sebaliknya perlu menjalani kuarantin di kediaman masing-masing selama 14 hari.

HSO dikuatkuas­akan selaras dengan perlaksana­an Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia