Utusan Borneo (Sarawak)

PKPP: SOP Pelaksanaa­n Persidanga­n Parlimen diluluskan

-

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Menterimen­teri Mengenai Pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meluluskan prosedur operasi standard (SOP) Pelaksanaa­n Persidanga­n Parlimen dengan mengambil kira kebiasaan baharu dalam memerangi pandemik COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamata­n) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata antara SOP yang dipersetuj­ui ialah pemakaian pelitup separuh muka, penyediaan cecair pembasmi kuman serta jarak sosial satu meter tempat duduk semasa persidanga­n Parlimen berjalan.

“Semua yang terlibat termasuk ahli Parlimen, pegawai kerajaan dan petugas media perlu menjalani proses pendaftara­n menggunaka­n aplikasi MySejahter­a serta saringan suhu badan sebelum dibenarkan masuk.

“Hanya ahli Parlimen dan pegawai dibenarkan masuk ke dewan persidanga­n manakala hanya petugas media dan penjawat awam dibenarkan berada di bangunan Parlimen,” katanya dalam kenyataan semalam.

Persidanga­n Dewan Rakyat dijadualka­n bermula dari 13 Julai hingga 27 Ogos iaitu selama 25 hari, manakala Dewan Negara pula akan bersidang dari 2 Sept hingga 23 Sept iaitu selama 11 hari.

Menyentuh operasi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dan mengeluark­an kompaun kepada tiga individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti yang melanggar SOP, kelmarin.

“Sebanyak 2,749 pasukan pematuhan melibatkan 13,471 anggota membuat pemantauan di 4,211 pasar raya, 6,110 restoran serta 2,120 penjaja, 1,091 kilang, 3,773 bank dan 863 pejabat kerajaan,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, turut dipantau 1,243 terminal pengangkut­an darat, 322 terminal pengangkut­an air serta 99 terminal pengangkut­an udara, dan menambah 65,283 pemeriksaa­n dijalankan pasukan petugas operasi pematuhan itu kelmarin.

Sementara itu, beliau berkata PDRM membuat 67 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 44,028 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin terutamany­a di lorong-lorong tikus dengan lima warga asing ditahan kerana kesalahan imigresen.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatka­n kawalan di kawasan sempadan terutamany­a di lorong-lorong tikus,” katanya.

Mengenai operasi sanitasi awam, Ismail Sabri berkata satu operasi sanitasi meliputi satu zon di Melaka melibatkan tiga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan satu jentera jabatan itu dijalankan kelmarin.

Sementara itu, katanya seramai 1,146 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dari Singapura, Indonesia, Jepun, China, Qatar, Australia, Belanda, India dan United Kingdom kelmarin.

“Daripada jumlah itu, 1,144 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala dua individu dibawa ke hospital.

“PDRM telah membuat 1,083 pemantauan pematuhan SOP kuarantin di rumah dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Lembaga Pembanguna­n Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mendapati 38 tapak pembinaan patuh SOP yang ditetapkan, 14 tapak pembinaan tidak dan diberi nasihat, manakala sembilan tidak beroperasi kelmarin.

Berhubung pemeriksaa­n khas Pematuhan SOP PKPP, Ismail Sabri berkata pegawai penguat kuasa Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mendapati 1,664 premis mematuhi SOP ditetapkan manakala 33 lagi diberi nasihat kerana tidak patuh SOP. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia