Utusan Borneo (Sarawak)

Bremen lega kekal dalam Bundesliga selepas seri pada perlawanan play-off

-

BERLIN, Jerman: Werder Bremen menarik nafas lega apabila berjaya mengekalka­n status mereka dalam Bundesliga Jerman pada musim hadapan dengan peraturan gol di tempat lawan selepas seri 2-2 di kelab divisyen dua, Heidenheim pada perlawanan kedua playoff penyingkir­an/ kenaikan pada Isnin di mana gol penentu kedua dijaringka­n pada minit kecederaan.

“Saya berasa gembira dan lega kerana kami akhirnya berjaya mengekalka­n kedudukan kami dalam liga (Bundesliga),” kata jurulatih Bremen, Florian Kohfeldt ketika perlawanan timbal-balik itu berkesudah­an dengan 2-2 secara agregat.

“Kami bermasalah untuk sekian lama musim ini tetapi kami sentiasa cuba bangkit,” tambah beliau selepas Bremen hanya layak untuk playoff penyingkir­an pada hari terakhir musim.

“Ia satu tekanan yang sangat berat untuk kami. Setiap kritikan mungkin ada benarnya tetapi pujian kepada pemain.”

Bremen, yang memenangi kejuaraan Bundesliga buat kali keempat dan terakhir mereka pada musim 2003/2004, mengekalka­n rekod kelab paling lama beraksi dalam Bundesliga Jerman dari mana-mana kelab di Jerman sementara Heidenheim terpaksa akur kekal beraksi dalam divisyen dua.

“Kami mempunyai satu peluang yang bagus dan kegagalan ini benar-benar mengecewak­an,” kata jurulatih Heidenheim, Frank Schmidt, di mana pasukannya mensia-siakan peluang bermain dalam Bundesliga selepas seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama di Bremen.

“Kami mungkin tidak kalah pada perlawanan ini tetapi ya, kami berasa seperti pasukan yang kalah.

“Ia sangat kejam kepada kami dan kami akan memerlukan beberapa hari untuk menerima semua ini.”

Selepas Heidenheim bolos gol jaringan sendiri seawal minit ketiga, penyerang mereka, Tim Kleindiest mengikat kedudukan pada minit ke-85 untuk menghidupk­an peluang tetapi Bremen terselamat asakan demi asakan empat minit dalam masa tambahan.

Penyerang gantian, Fin Bartels melepasi pertahanan Heideinhem untuk mengumpan bola kepada Ludwig Augustinss­on untuk meletakkan Bremen di hadapan buat kali pertama.

Namun pada minit akhir, pemain pertahanan Bremen, Theodor Gebre Selassie mengasari pemain tengah Heidenheim, Tobias Mohr, menyebabka­n pengadil memberikan satu tendangan penalti yang disempurna­kan Kleindiens­t pada minit kelapan masa tambahan tetapi semuanya terlalu lewat untuk mencari gol kemenangan.

Bremen bermula garang apabila pemain pertahanan Heidenheim, Norman Theurkauf tertolak bola ke pintu golnya sendiri seawal minit ketiga permainan.

Dengan berbaki 10 minit permainan sebelum rehat, rembatan jarak jauh penyerang Bremen, Milot Rashica ditepis keluar penjaga gol Heidenheim.

Walaupun ketinggala­n 0-1 pada masa rehat, Heidenheim meningkatk­an permainan selepas rehat dan Bremen tertekan dan bolos gol minit ke-85 walaupun mereka masih tetap ‘menang’ berdasarka­n gol di tempat lawan.

Heideinhei­m mempunyai peluang tetapi Bremen menjaringk­an gol kedua pada minit kecederaan sebelum gol penyamaan Heidenheim hadir terlalu lewat untuk mencetuska­n satu lagi kebangkita­n.

Peminat bola sepak di Jerman masih tidak dibenarkan memasuki stadium sejak liga disambung semula pada pertengaha­n bulan Mei selepas dua bulan tertangguh ekoran pandemik koronaviru­s (COVID-19).

Heidenheim, yang menamatkan saingan divisyen dua di tangga ketiga, mengintai peluang untuk beraksi dalam Bundesliga Jerman buat kali pertama dalam sejarah mereka sementara Bremen, yang menamatkan saingan liga di tangga ketiga dari bawah liga, mengekalka­n status mereka untuk musim hadapan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia