Utusan Borneo (Sarawak)

COVID-19: SARAWAK KINI BERSTATUS HIJAU

-

KUCHING: Daerah Kuching semalam bertukar status daripada Kuning kepada Hijau selepas tidak mencatatka­n kes positif baharu COVID-19 selama dua minggu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini bermakna semua daerah di Sarawak kini berstatus Hijau.

“Kerajaan negeri amat berterima kasih kepada petugas barisan hadapan dan semua rakyat negeri ini yang memberi kerjasama dalam usaha kita memutuskan rantaian wabak COVID-19 di Sarawak.

“Kita berharap kerjasama ini berterusan sehingga kita bebas daripada wabak COVID19, namun dalam kita melihat angka yang menurun, kita jangan mengambil ringan kerana kita masih lagi berperang,” ujarnya pada sidang media perkembang­an terkini COVID-19 di sini, semalam. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, indikator kod warna daerah adalah berdasarka­n bilangan kes yang dilaporkan dalam tempoh 14 hari lepas.

Katanya, kod warna Merah bagi bilangan kes melebihi 40 orang, kod warna Kuning bagi bilangan kes 1-40 orang dan kod warna Hijau bagi tiada kes.

“Status tidak melibatkan kes import dari luar negara,” katanya sambil menjelaska­n terdapat satu kes positif COVID-19 di Sibu semalam, namun ia kes import melibatkan seorang jurutera syarikat minyak yang pulang dari Arab Saudi.

Mengenai pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Sarawak, Uggah berkata semalam sebanyak 2,141 premis telah dipantau melibatkan pasar raya, restoran, kilang, bank, pejabat kerajaan, penjaja, pasar tani/ awam, tempat ibadah, tempat riadah, tapak pembinaan dan lain-lain.

Manakala, sebanyak 899 kenderaan telah diperiksa setakat semalam sempena Ops Benteng melibatkan enam sekatan jalan raya di lima daerah iaitu di Lundu, Bau, Serian, Sri Aman dan Lubok Antu.

 ??  ?? UGGAH
UGGAH

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia