Utusan Borneo (Sarawak)

Sarawak merekodkan sifar kes positif baharu COVID-19

-

KUCHING: Sarawak semalam merekodkan sifar kes positif baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruha­n kes positif di negeri ini kekal sebanyak 701 kes.

Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, hanya satu kluster COVID-19 yang masih aktif ketika ini iaitu Kluster Alam di Bintulu.

“Kes Kluster Alam kekal seramai lapan kes dengan kesemua kes telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital.

“Dimaklumka­n juga tiada kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital hari ini, menjadikan jumlah keseluruha­n kes postif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj kekal seramai 680 orang atau 97.00 peratus,” katanya menerusi kenyataan media jawatankua­sa itu semalam.

JPBNS menambah, jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital ialah dua orang iaitu masing-masing satu kes di wad pengasinga­n di Hospital Sibu dan Hospital Sungai Buloh, Selangor.

“Tiada kes COVID-19 yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari ini.

“Dimaklumka­n juga terdapat satu kes yang dilaporkan di Sandakan, Sabah yang sedang menerima rawatan di Hospital Bintulu,” katanya.

Menurut JPBNS lagi, jumlah kematian kekal 19 orang atau 2.71 peratus.

“Hari ini sebanyak empat kes orang yang disyaki (PUI) baharu dilaporkan dan tiada PUI menunggu ujian makmal,” ujarnya.

Selain itu, JPBNS berkata, seramai 10 orang di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin semalam.

Ini menjadikan jumlah keseluruha­n PUS di 11 hotel seramai 574 orang manakala seramai 24,177 PUS telah tamat menjalani tempoh kuarantin.

Mengenai pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula, sebanyak 14 notis kompaun dikeluarka­n iaitu 13 di Kuching dan satu di Kota Samarahan kerana tidak mematuhi garis panduan (SOP).

Manakala katanya, pihak Kementeria­n Kerajaan Tempatan dan Perumahan telah mengeluark­an 117 amaran lisan, bertulis dan sitaan di kawasan seliaan Majlis Daerah Marudi (30), Dewan Bandaraya Kuching Utara (21), Lembaga Pembanguna­n Bintulu (21), Majlis Perbandara­n Sibu (18), Majlis Daerah Maradong dan Julau (lapan), Majlis Daerah Matu Daro (tujuh), Majlis Daerah Serian (lima) Majlis Bandaraya Kuching Selatan (empat) dan Majlis Bandaraya Miri (tiga).

Polis Sarawak dalam pada itu akan terus memperketa­tkan SOP termasuk pemakaian pelitup separuh muka di tempat awam.

Semalam menurut JPBNS, sebanyak 1,310 premis telah diperiksa melibatkan pasar raya, restoran, kilang, bank, pejabat kerajaan, penjaja, pasar tani/awam, tempat ibadat, tempat riadah, tapak pembinaan dan lain-lain.

Enam sekatan jalan raya dijalankan di lima daerah iaitu Lundu, Bau, Serian, Sri Aman dan Lubok Antu dengan 607 kenderaan diperiksa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia