Pengusaha terjejas akibat COVID-19 dibantu
32 pengusaha bas mini, bas ekspres terima surat kelulusan bantuan skim kawalan diesel bersubsidi
SANDAKAN: Seramai 32 pengusaha bas mini dan bas ekspres di daerah ini menerima surat kelulusan bantuan skim kawalan diesel bersubsidi pada hari Sabtu.
Pengusaha-pengusaha yang berjaya ini merupakan kumpulan pertama daripada pemohon yang telah diluluskan.
Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Bantuan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di sebuah hotel terkemuka di sini.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah Dato’ Chin Kim Hiung dan KetuaPejabatLPKPSandakan Mohd Soffian Eting.
Menurut Wee, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) amat memahami nasib para pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam yang terkesan dan berdepan waktu sukar akibat pandemik COVID-19.
Justeru, katanya adalah menjadi tanggungjawab bagi kerajaan persekutuan yang prihatin dan berjiwa rakyat di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membantu para pengusaha.
Jelasnya, ia dengan menyalurkan subsidi diesel bagi mengurangkan kos operasi mereka demi memastikan rakyat Malaysia terus menikmati mutu perkhidmatan pengangkutan awam yang baik.
Sementara itu, Chin menggesa pengusaha-pengusaha sektor pengangkutan awam yang layak untuk mengemukakan permohonan melalui pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di daerah masing-masing.
Katanya, hanya pemohonpemohon yang memenuhi syarat-syarat yang tertakluk akan menerima bantuan itu.