Utusan Borneo (Sarawak)

Kes serangan denggi di Johor meningkat kepada 8,707 kes

-

JOHOR BAHRU: Kes denggi di Johor meningkat sebanyak 6.2 peratus atau 8,707 kes bagi tempoh 1 Januari hingga 12 September tahun ini berbanding 8,200 kes dalam tempoh sama, tahun lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) Dr Aman Rabu berkata berdasarka­n data terkini, situasi denggi di negeri itu disifatkan amat membimbang­kan.

“Sebanyak 32 kes kematian direkodkan tahun ini berbanding 21 kes kematian yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Justeru, JKNJ mengadakan satu operasi penguatkua­saan premis individu (OPPI) di kawasan wabak denggi di Bandar Baru Uda, kerana kawasan berkenaan kurang mendapat kerjasama penduduk untuk dibuat pemeriksaa­n tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Sejak 1 Januari sehingga 12 Sept, sebanyak 156 kes denggi telah dilaporkan dari kawasan ini. Sebanyak 1,014 premis telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut sebanyak 14 (1.3 peratus) premis didapati mempunyai bekas pembiakan jentik-jentik.

“Di persekitar­an awam pula, sebanyak 26 tempat pembiakan ditemui antaranya pada bekas plastik dan pasu bunga yang terbiar,” kata Dr Aman.

Beliau berkata dalam usaha mencapai matlamat Johor Perangi Denggi 2020, pelbagai usaha telah dijalankan untuk memastikan masyarakat peka dan sama-sama bertanggun­gjawab menghentik­an penularan denggi.

Operasi OPPI di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 adalah satu operasi bersepadu melibatkan agensi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersiha­n Awam (SWCorp) dan Polis Diraja

Malaysia.

“Sekiranya terdapat atau dijumpai pembiakan jentik-jentik di premis kediaman, kompaun sebanyak RM500 akan dikenakan dan sekiranya gagal membayar kompaun, boleh didakwa di mahkamah dan denda maksimum RM10,000 atau penjara, tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Dalam mencegah denggi, masyarakat perlu memainkan peranan aktif bagi mencari dan memusnahka­n tempattemp­at takungan di kediaman mereka yang boleh menjadi pembiakan aedes, termasuk penjagaan kebersihan persekitar­an dan pembuangan sampah secara teratur,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatk­an orang ramai supaya bekerjasam­a dengan petugas kesihatan yang melakukan pemeriksaa­n rumah atau semburan kabus. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia