Utusan Borneo (Sarawak)

Mayat nelayan hilang di Muara Tanjung Dawai ditemui

-

ALOR SETAR: Mayat seorang nelayan yang dilaporkan hilang setelah bot gentian kaca yang dinaiki bersama abangnya dirempuh sebuah bot lain di muara Tanjung Dawai, dekat Sungai Petani, malam Jumaat lepas, ditemui pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Ahmad Faizal Ahmad berkata, mayat Zulkifli Mohamad, 52, dijumpai pada jam 8.10 pagi semalam oleh nelayan tempatan yang melakukan pencarian kirakira dua kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sejak dua hari lepas membabitka­n lima bot dari Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Operasi membabitka­n seramai 32 anggota dan pegawai serta lebih 60 nelayan tempatan yang turut membantu dalam pencarian. Dengan penemuan itu, operasi SAR dihentikan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.,” katanya di sini.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam Jumaat lalu, bot dinaiki Zulkifli bersama abangnya, Jaafar Mohamad, 57, dirempuh sebuah bot lain ketika dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan, menyebabka­n mangsa terjatuh ke dalam laut.

Sementara itu, Ahmad

Faizal mengingatk­an komuniti maritim agar berwaspada dengan keadaan cuaca dan keperluan memiliki alat Personal Locator Beacon (PLB) sebagai kelengkapa­n tambahan bagi memudahkan operasi SAR, jika berlaku sebarang insiden di laut.

Katanya, orang ramai boleh menghubung­i talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579, jika berlaku kecemasan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia