Utusan Borneo (Sarawak)

Bomba cari petunjuk baharu jejaki Acap

-

GOPENG: Seramai 150 anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) semalam mencari petunjuk baharu bagi menjejak Mohammad Ashraf Hassan, 30, yang hilang ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail 2019 (GUT19) di sini, tahun lepas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Mohamad Yunus Abu berkata pencarian sejauh 25 kilometer mengikut laluan GUT19 itu dilakukan bersempena Latihan Pengoperas­ian STORM 2020 Peringkat Zon Utara Khas di Gua Tempurung.

Beliau berkata, latihan dijalankan selama empat hari mulai kelmarin, disertai 150 pegawai dan anggota JPBM dari Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Perlis melibatkan tiga fasa iaitu jalan lasak, penyelamat­an dalam gua dan penyelamat­an air.

“Melalui latihan ini kita harap dapat petunjuk baharu. Sekiranya ada petunjuk tertimbus di bawah tanah diharapkan dengan faktor cuaca seperti hujan mungkin dapat petunjuk baharu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Gua Tempurung di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohamad Yunus berkata melalui pencarian itu, pihak bomba juga berharap dapat mengurangk­an keresahan ditanggung keluarga Mohammad Ashraf atau dikenali sebagai Acap yang hilang sejak Mac 2019.

Pada 17 April 2019, polis mengumumka­n operasi mencari Acap ditangguhk­an sementara selepas pencarian selama 24 hari tidak menemukan petunjuk baharu.

Mengenai latihan pengoperas­ian itu, Mohamad Yunus berkata latihan tersebut bertujuan menguji kemampuan logistik, teknikal dan komunikasi yang turut melibatkan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Bidor sebagai penjejak.

“Latihan ini sebagai persediaan pasukan bomba terhadap sebarang kemungkina­n bencana pada hujung tahun, termasuk ketika musim hujan dan kejadian tanah runtuh agar dapat memperkema­skan koordinasi nanti,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia