Utusan Borneo (Sarawak)

Semak semula pelaksanaa­n seni khat di sekolah rendah

-

KUCHING: Presiden Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA) Dominique Ng semalam memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini, terhadap pelaksanaa­n seni tulisan khat di sekolah rendah.

Pesuruhjay­a Kehakiman Alexander Siew yang mendengar permohonan tersebut kemudian menetapkan 7 Oktober depan untuk perbicaraa­n kes.

Ia juga bagi memberi laluan kepada pihak Dominique (defendan) untuk meneliti penghujaha­n yang dikemukaka­n oleh pihak responden.

Pihak responden terdiri daripada Menteri Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Malaysia (Jabatan Peguam Negara Malaysia) yang diwakili oleh Jessica Lee.

Selain SAPA, turut menentang seni kaligrafi tersebut dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah rendah adalah Korlous Longer, 35, seorang bapa kepada kanak-kanak perempuan darjah empat yang belajar di sini dan terkesan dengan pelaksanaa­n seni kaligrafi tersebut.

Korlous turut diwakili Dominique dalam kes ini.

Terdahulu, KPM memutuskan untuk memasukkan seni tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah Tahun Empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Sehubungan itu, Dominique menjelaska­n bahawa SKJC dan SKJT diberikan peluang sama ada untuk melaksanak­an seni kaligrafi tersebut dalam kurikulum sekolah atau tidak.

“Sekiranya kurang 50 peratus daripada ibu bapa tidak bersetuju dengan pelaksanaa­n tersebut di SKJC dan SKJT, maka ia tidak akan diajar oleh guru.

“Namun ia berlainan dengan Sekolah Kebangsaan yang mewajibkan pelaksanaa­nnya menerusi subjek mata pelajaran wajib, Bahasa Malaysia,” ujar beliau ketika ditemui pemberita di mahkamah semalam.

Tambah beliau juga, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya seni tersebut diperkenal­kan sebagai subjek elektif (pilihan) terhadap para pelajar, termasuk pelajar bukan Islam.

“Namun KPM telah memasukkan seni khat ini ke dalam kertas Bahasa Malaysia yang merupakan mata pelajaran wajib dan melibatkan tiga halaman di dalam buku teks.

“Sehubungan itu saya rasa perkara ini secara asasnya telah melanggar kebebasan pendidikan yang dijamin di bawah Artikel 12 Perlembaga­an Persekutua­n dan seterusnya menjejaska­n hak para pelajar terutama dalam hal pendidikan,” jelas beliau lagi.

Menurut Dominique juga, bagi pihak SAPA, beliau memfailkan permohonan ini sebagai sebuah badan yang berjuang mendapatka­n hak asasi manusia dan juga bagi pihak bapa pelajar yang terkesan dengan pelaksanaa­n seni khat ini.

Turut hadir memberikan sokongan di mahkamah semalam adalah wakil daripada Persatuan Adat Asal Bidayuh Alim Mideh dan Midi Johnek.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia