Utusan Borneo (Sarawak)

Kelajuan muat naik yang betul bagi pakej 500Mbps adalah 100Mbps, bukan 200Mbps: TM

-

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) semalam menjelaska­n konfiguras­i kelajuan muat naik yang betul bagi pakej 500Mbps adalah 100Mbps dan bukan 200Mbps seperti yang tertera dalam versi Soalan-soalan Lazim (FAQ), portal unifi dan risalah sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, TM berkata tiada sebarang perubahan dibuat pada konfiguras­i kelajuan muat naik bagi pakej unifi 500Mbps.

Menurutnya, pembetulan telah dibuat bagi kesilapan kelajuan muat naik untuk pakej 500Mbps yang tertera di FAQ, portal unifi dan risalah pada 2 September 2020.

TM berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam bertajuk “SKMM Siasat Aduan Penguranga­n Kelajuan Pakej unifi Berbanding Tawaran Awal.”

Menurut TM, pihaknya ingin meyakinkan semua pelanggan dan pihak berkepenti­ngan berkenaan komitmen mereka terhadap hak dan perlindung­an pengguna.

“Kami menyesali kesilapan yang berlaku dan telah mengeluark­an penjelasan berkenaan perkara tersebut pada Jumaat,” katanya.

TM berkata pihaknya akan terus bersikap telus dalam memaklumka­n kepada para pelanggan tentang perkara ini dan sedang memperkema­s proses-proses supaya perkara sedemikian tidak berulang.

“Pada masa yang sama, kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak SKMM dalam proses siasatan mereka.

“Kami ingin memaklumka­n bahawa semua pelanggan masih dalam tempoh 30 hari percubaan memandangk­an pakej berkenaan baru sahaja diperkenal­kan kurang daripada sebulan yang lepas iaitu 24 Ogos,” katanya.

Sehubungan itu, para pelanggan boleh memilih untuk tidak meneruskan langganan tanpa dikenakan sebarang penalti.

TM akan menghubung­i para pelanggan yang telah melanggan pakej 500Mbps ini sejak 24 Ogos untuk memaklumka­n kesilapan itu dan pilihan yang mereka ada bermula hari ini.

“Kami ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan dan memberi jaminan kepada pelanggan bahawa kesemua saluran kami, termasuk laman web dan bahan-bahan promosi pemasaran telah dikemas kini dengan maklumat yang betul,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan, hubungi wakil khidmat pelanggan TM di pusat panggilan 100, TMpoint di seluruh negara atau ejenejen maya melalui aplikasi myunifi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia