Utusan Borneo (Sarawak)

Sarjan polis didenda RM20,000 terima wang berhubung kes dadah

-

MELAKA: Seorang sarjan polis didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas pertuduhan pilihan iaitu menerima wang RM4,000 daripada seorang wanita berhubung kes dadah, tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhka­n hukuman itu ke atas Mohd Azani Mohd Khalid, 34, yang berkhidmat di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, selepas menukar pengakuan kepada bersalah, pada sebutan kes semalam.

Mahkamah turut memerintah­kan bapa kepada dua anak itu menjalani hukuman penjara enam bulan, sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.

Dia didakwa sebagai penjawat awam telah menerima wang tunai RM4,000 daripada seorang wanita, di Jalan Bidara Permai 5, Taman Bidara Permai, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Alor

Gajah, pada 1.30 tengah hari, 9 Oktober 2019.

Wang itu didakwa berkaitan tugas rasmi tertuduh sebagai Pegawai Penyiasat kes seorang lelaki yang disiasat, di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada 4 Oktober 2019, tertuduh menghubung­i seorang wanita yang merupakan ibu kepada lelaki yang disiasat berhubung kes dadah, untuk memaklumka­n anaknya direman sehingga 7 Oktober 2019 sebelum menyatakan anaknya boleh dilepaskan, dengan menyerahka­n RM4,000 kepadanya.

Wanita itu merayu agar bayaran itu dikurangka­n, kerana jumlah tersebut terlalu tinggi dan tidak berkemampu­an, namun tertuduh menyatakan bayaran itu sudah ditetapkan dan tidak boleh dikurangka­n.

Berdasarka­n rakaman perbualan di telefon bimbit, tertuduh memberitah­u wanita itu agar menyerahka­n bayaran wang tunai itu selewatlew­atnya 9 Oktober 2019, dan tertuduh menyatakan akan hadir sendiri ke rumah wanita itu untuk mengambil bayaran tersebut.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat dan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Syakila Yaacob, manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Strok.

Pada 27 Februari lepas, Mohd Azani mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperoleh suapan RM4,000 untuk diri sendiri daripada seorang wanita mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia