Utusan Borneo (Sarawak)

Operasi SAR pesawat terhempas dihentikan hingga dapat maklumat baharu, kata Polis

-

GEORGE TOWN: Polis menghentik­an dahulu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat ringan yang dikatakan terhempas di kawasan perairan berhampira­n Tanjung Bungah sehingga mendapat maklumat baharu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata SAR yang dijalankan hingga jam 6.30 petang semalam tidak menemukan sebarang petunjuk berhubung insiden yang dikatakan berlaku kira-kira 2 petang kelmarin itu.

“Hingga 11 pagi hari ini (semalam), pihak polis masih belum menerima laporan mengenai kehilangan juruterban­g atau pesawat ringan daripada Pihak Berkuasa Penerbanga­n Awam Malaysia (CAAM) dan mana-mana syarikat penerbanga­n untuk dikaitkan dengan kejadian tersebut.

“Polis juga telah membuat semakan dengan CAAM dan hingga hari ini semua pesawat yang keluar telah kembali atau tiba dengan selamat di tempat yang dituju, malah berhubung sebuah helikopter berwarna kuning yang dilaporkan kelihatan sebelum kejadian tersebut di kawasan perairan Pulau Pinang juga telah selamat sampai di Subang, Selangor,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Soffian berkata polis turut mendapatka­n maklumat daripada orang awam termasuk pemancing dan nelayan yang berada di kawasan itu yang memaklumka­n mereka tidak melihat sebarang kejadian pesawat ringan terhempas.

Mengulas lanjut beliau berkata kejadian itu dilaporkan oleh tiga individu iaitu dua nelayan dan seorang pengawal keselamata­n, masing-masing berusia lingkungan 50-an, yang mendakwa melihat sebuah objek sebesar kotak mancis yang dikatakan turut mempunyai belon pada bahagian ekor, terhempas ke dalam laut.

Katanya berdasarka­n siasatan awal, tiga saksi itu konsisten dalam keterangan masing-masing berhubung kejadian.

Soffian turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian berkenaan agar tampil menyalurka­n maklumat kepada polis dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenainy­a.

Semalam, polis bersama beberapa agensi lain menjalanka­n SAR di perairan tersebut selepas menerima laporan daripada orang awam memaklumka­n ternampak sebuah pesawat ringan terjunam ke dalam laut berhampira­n Tanjung Bungah.

Laporan itu turut tular menerusi laman sosial.

Dalam perkembang­an lain, pada hari ke-104 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kelmarin, ramai rakyat Malaysia didapati masih berdegil dan ingkar arahan PKPP termasuk terlibat dalam aktiviti kelab malam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamata­n) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 293 individu ditahan semalam kerana ingkar arahan dengan 124 daripadany­a terbabit dalam aktiviti kelab malam.

“Seramai 85 lagi tidak mengamalka­n penjarakan fizikal, 31 orang pula gagal menyediaka­n peralatan atau rekod butiran diri, 24 individu tidak memakai pelitup muka, 10 didapati menjalanka­n operasi premis lebih masa, sembilan tangkapan pendatang tanpa izin dan enam ditahan kerana premis beroperasi tanpa kebenaran.

“Dua individu lagi didapati keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat­kan (PKPD) manakala dua individu gagal lunaskan caj kuarantin,” katanya dalam kenyataan semalma.— Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia