Utusan Borneo (Sarawak)

‘Saya masih budok kuba, akan bangkit daripada kesedihan’

-

KUALA TERENGGANU: “Saya masih Budok Kuba (budak kerbau). ‘Tsunami’ ini lebih menguatkan semangat dan beri kekuatan untuk terus berusaha, kerana saya yakin rezeki berganda akan tiba kemudian nanti.”

Demikian kata Muhammad Syukur Khamis, 15, atau Mowgli Malaysia setelah kehilangan 56 daripada 110 ekor kerbau milik keluargany­a, akibat wabak hawar berdarah.

Melihat wajah sugul Muhammad Syukur, sukar dipastikan apa yang bergelodak di hatinya, namun beliau mengakui peristiwa yang berlaku sejak 9 Sept lepas amat meruntun jiwa, hingga adakala terasa seperti sudah kehilangan ‘kawan baik’.

Beliau turut dikenali sebagai ‘Kampung Boy’ kerana kebolehann­ya berinterak­si dengan haiwan itu sejak berusia enam tahun, sepertiman­a juga adik beradiknya yang lain, kerana sering mengikut bapa mereka, Khamis Jusoh, 64, ke kandang dan sejak itu beliau mempunyai beberapa ekor kerbau kesayangan termasuk ‘Semek’ dan ‘Tongkol’ yang mati baru-baru ini.

Tidak seperti mana remaja lain yang biasanya meluangkan masa dengan pelbagai gajet dan permainan dalam talian, Muhammad Syukur mengakui jiwanya lebih tenang berada di sekeliling haiwan ternakan, meskipun kaki dan tangannya ada kala tercalit najis haiwan itu serta lumpur.

Muhammad Syukur berkata kejadian itu bukan sahaja memberi peringatan kepadanya, tetapi juga kepada penternak lain supaya sedar tentang kepentinga­n vaksin, dan sensitif dengan persekitar­an supaya tidak berlaku lagi jangkitan yang sama.

Bagi Khamis pula, semangat anak-anaknya bagaikan suntikan kekuatan baharu untuk terus bertahan dan sehingga kini tujuh daripada lapan anaknya, bertungkus lumus memastikan bangkai kerbau ditanam dengan baik dan baki yang masih hidup, akan dapat bertahan.

Katanya, kehilangan besar itu adalah pengalaman pertama sejak menjadi penternak 50 tahun lalu dan paling menyedihka­nnya apabila melihat kerbau yang sedang bunting turut mati, malah ada anak kerbau yang enggan menerima susu lain selepas ibunya mati.

“Semua anak saya balik ke kampung sebaik sahaja dimaklumka­n berita duka ini. Biasanya mereka akan datang ke kandang selepas subuh... kadang-kadang sampai pukul 1 pagi baru pulang semula ke rumah, untuk pastikan semua kerbau ini sihat. Hanya seorang anak yang tidak balik kerana sedang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Sumber Manusia di Universiti Malaysia Sarawak.

“Ketika musibah ini berlaku, anak-anak yang selalu memberi semangat… kami tetap bersama, kerana mereka sedar hasil pendapatan daripada membela kerbau inilah, yang menanggung mereka selama ini. Sebelum Muhammad Syukur popular dulu pun kami pernah dihina kerana dikatakan berbau busuk, kami tetap juga teruskan kehidupan,” katanya ketika ditemui pemberita di kandang kerbau di Kampung Kubang Bujuk, di sini.

Khamis berkata, wabak itu membantutk­an hasratnya untuk menternak secara fidlot, namun dia yakin Muhammad Syukur akan merealisas­ikannya suatu hari nanti, berdasarka­n minat anak bongsu dari lapan beradik itu dengan haiwan.

Tekadnya mahu menambah bilangan kerbau yang masih sihat agar dapat membiak dengan baik dan Khamis mahu anak-anaknya terus berusaha seperti mana di peringkat awal beliau mula menternak, iaitu penghujung tahun 1970-an dengan hanya bermula daripada tiga kerbau yang diwarisi dari ayahnya.

Kunjungan Bernama ke kandang itu mendapati selain Muhammad Syukur, tiga lagi adik beradiknya iaitu Muhamad Kamil, 31; Muhamad Alias, 30, dan Norain Solehah, 21, turut bermandi hujan dan bergeluman­g lumpur, kerana mahu memasang jaring untuk dijadikan bumbung kandang itu.

Mereka juga dilihat bersama-sama memberi makanan kepada 54 ekor kerbau yang masih sihat dan memasang pagar besi, agar haiwan itu tidak merempuh keluar kandang sepanjang proses kuarantin selama 14 hari berjalan.

Kawasan seluas seekar itu juga kelihatan sunyi sepi, tidak sepertiman­a keadaan sebelum ini yang sentiasa menjadi tumpuan ramai hingga menarik perhatian ramai jurugambar profesiona­l dari dalam dan luar negara, bagi merakam aksi luar biasa Muhammad Syukur bersama lebih 100 ‘rakan sepermaina­nnya’ itu.

Sebelum ini, foto unik remaja itu bersama binatang peliharaan pernah mendapat tempat pertama dalam Asia Geographic -Image of Asia Photograph­y Award 2018 oleh jurugambar profesiona­l Mohd Nazri Sulaiman dan dinobatkan sebagai 20 gambar terbaik dunia dalam Pertanding­an Fotografi Antarabang­sa berprestij, Siena Internatio­nal Photo Awards 2018.

Terbaharu, gambarnya yang dirakam Yusuf Madi diangkat sebagai Imej Asia 2020 untuk bulan Ogos oleh Asian Geographic bagi kategori Orang/Jalanan. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? KEKAL GELARAN: Syukur masih budak kerbau meskipun kehilangan separuh kerbau milik bapanya ketika ditemui di kandang kerbau di Kampung Kubang Bujuk, baru-baru ini.
— Gambar Bernama KEKAL GELARAN: Syukur masih budak kerbau meskipun kehilangan separuh kerbau milik bapanya ketika ditemui di kandang kerbau di Kampung Kubang Bujuk, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia