Utusan Borneo (Sarawak)

PJ City FC tekad kekal dalam saingan Liga Super

-

MELAKA: Pemain-pemain pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) perlu bangkit meraih tiga mata penuh dalam baki tiga perlawanan Liga Super, bagi memastikan pasukan itu kekal berada dalam saingan musim depan, kata ketua jurulatihn­ya K. Devan.

Katanya kejayaan mengikat Melaka United 1-1 pada aksi di Stadium Hang Jebat (malam kelmarin) sedikit memberi kelegaan, kerana barisan pemain sedar pasukan dalam situasi kritikal untuk mengelak berada di zon penyingkir­an.

“Selepas ini, kita akan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), UiTM FC dan PDRM FA, tetapi saya melihat kita masih mempunyai peluang untuk menang sekurangku­rangnya dua perlawanan dan mendapatka­n enam mata supaya kita boleh kekal dalam liga.

“Bertemu JDT selepas ini mungkin agak sukar, tetapi kita akan cuba apa yang kita mampu,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan antara Melaka United dan PJ City FC di Stadium Hang Jebat di sini, malam kelmarin.

Pada aksi itu, PJ City FC memusnahka­n harapan tuan rumah untuk mengutip tiga mata penuh menerusi gol saat akhir pemain gantian M. Kogileswar­an, selepas Melaka United mendahului jaringan melalui Romel Ramirez pada minit ke-72.

Devan berkata pencaturan taktikal pada minit terakhir dengan memasukkan tiga pemain penyerang, berjaya membuahkan hasil dan beliau memuji barisan pemainnya yang menunjukka­n sikap positif, walaupun ketinggala­n satu gol.

Beliau berkata ketiadaan pemain import dari Guinea Demba Camara, yang tidak dapat kembali ke Malaysia selepas pulang ke negara asal untuk menyelesai­kan masalah peribadi, turut memberi kesan kepada skuad kendaliann­ya.

PJ City FC kini berada di tangga ke-10 kedudukan Liga Super dengan tujuh mata selepas lapan perlawanan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia