Utusan Borneo (Sarawak)

COVID-19: SARAWAK CATAT DUA KES BAHARU SEMALAM

-

KUCHING: Dua kes baharu positif COVID-19 melibatkan seorang penjawat awam di Kuching dan seorang eksekutif teknikal sebuah syarikat minyak dan gas yang berpangkal­an di Miri dilaporkan di Sarawak, semalam.

Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, ini menjadikan jumlah keseluruha­n kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 1,055 kes.

“Satu kes baharu di Kuching itu merupakan seorang lelaki warganegar­a tempatan, juga seorang penjawat awam yang bertugas di tempat kerja yang sama dan mempunyai kontak rapat dengan kes 1,051 (Kluster Besi).

“Kes telah disaring melalui aktiviti pengesanan kontak rapat kepada kes postif COVID-19 pada 19 November 2020 dan didapati positif pada hari ini (semalam),” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut jawatankua­sa itu, kes telah dimasukkan ke wad pengasinga­n di Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

“Kes masih dalam siasatan lanjut dan pengesanan kontak-kontak serumah dan kontak sosial kepada kes ini sedang giat dijalankan dan kes ini mempunyai kaitan dengan Kluster Besi,” ujarnya.

Manakala satu lagi kes baharu dilaporkan di Miri melibatkan seorang lelaki tempatan yang merupakan seorang eksekutif teknikal sebuah syarikat minyak dan gas yang berpangkal­an di Miri.

Jelas JPBNS, kes ini telah dikesan melalui saringan aktif secara rawak yang telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri di beberapa tempat kerja di bandar raya Miri sejak awal November.

“Kes ini juga tidak menunjukka­n sebarang gejala jangkitan COVID19 dan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau mengunjung­i kawasan berisiko tinggi jangkitan di dalam negara dalam tempoh tiga bulan lepas.

“Kes telah dimasukkan ke wad pengasinga­n di Hospital Miri untuk rawatan lanjut,” tambahnya.

Tegasnya, kes ini masih dalam siasatan lanjut dan pengesanan kontak-kontak serumah, tempat kerja dan kontak sosial kepada kes ini sedang giat dijalankan dan kes ini dikategori­kan sebagai kes jangkitan tempatan.

Dalam pada itu, JPBNS memaklumka­n, terdapat enam kluster yang masih aktif di Sarawak iaitu Kluster Besi, Kluster Jalan Abell, Kluster Baki, Kluster Seladah, Kluster Greenhill dan Kluster Wisma Saberkas.

Selain itu, katanya, sembilan kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital semalam iaitu tujuh dari Hospital Umum Sarawak dan dua lagi dari Hospital Miri.

“Hari ini (semalam) lapan orang yang disyaki (PUI) baharu telah dilaporkan tetapi tiada PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal,” tambahnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia