Utusan Borneo (Sarawak)

Kadar indeks jenayah Perak turun 32 peratus sejak Januari

-

IPOH: Kadar indeks jenayah negeri Perak menunjukka­n penurunan sebanyak 32 peratus atau 1,295 kes bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Goh Boon Keng berkata bagi tempoh 10 bulan pertama pada tahun lalu, sebanyak 4,129 kes indeks jenayah direkodkan dan untuk tempoh sama tahun ini jumlah itu menurun kepada 2,834.

“Antara sebab utama (penurunan) adalah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan dan pihak polis banyak melakukan operasi termasuk sekatan jalan raya, rondaan dan kehadiran polis secara kerap di sesuatu kawasan mengurangk­an peluang untuk penjenayah melakukan jenayah,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Perak di sini semalam.

Pada majlis itu, Goh yang akan bersara wajib Ahad ini menyerahka­n tugas kepada Datuk Mazlan Santarai dengan disaksikan Ketua Bahagian Pentadbira­n Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Zaini Jass. Mazlan sebelum ini merupakan Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

Turut berlangsun­g pada semalam ialah serah terima tugas Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Perak daripada Datin Loh Tip Lai kepada Datin Rosiah Timah sambil disaksikan Ketua Urusetia PERKEP Jabatan Pengurusan PDRM Datin Hairiah Mohd Tahir.

Selain itu, Goh berkata bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas, jumlah jenayah kekerasan turut mencatatka­n penurunan sebanyak 670 kes berbanding 941 kes pada tahun lepas manakala jenayah harta benda juga berkurang daripada 3,188 kes tahun lalu kepada 2,164 bagi setakat bulan lepas.

Mengenai prestasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak sepanjang tahun ini, Goh berkata ia telah menjalanka­n sebanyak 10 operasi dengan tangkapan seramai 9,214 orang yang telah diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Bagi prestasi yang ditunjukka­n oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak pula, sebanyak 1,371 kes dicatatkan bagi tempoh berkenaan dengan peningkata­n penyelesai­an sebanyak 55 kes berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.— Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia