Utusan Borneo (Sarawak)

Sebuah Bacaan Hermeneuti­k

-

Pengenalan

Karya sastera merupakan cerminan, gagasan dan daya fikir pengarang yang ingin dikongsi kepada khalayak pembaca. Sesebuah karya sastera terhasil daripada cetusan rasa, kepekaan dan keprihatin­an pengarang terhadap apa yang diamati dan dialami oleh masyarakat. Selain itu, karya sastera turut dikatakan sebagai manifestas­i daripada gerak jiwa manusia yang wujud dalam bentuk penyataan bahasa yang kemudianny­a dipersemba­hkan sebagai bingkisan kata kepada pembaca. Sehubungan itu, sesebuah karya tidak hanya berdiri sebagai bingkisan kata yang indah sematamata, namun hadir sebagai perakam peristiwa sebuah masyarakat sesuai dengan zamannya, penceritaa­n semula sejarah lampau untuk bacaan generasi baharu, atau sebagai saranan bagi tujuan penambahba­ikan dan perubahan dalam masyarakat. Penyataan di atas bertepatan dengan pandangan Shahnon Ahmad (1992) dalam Kepolitika­n Kealaman Kedirian Kemanusiaa­n yang mengatakan bahawa kesusaster­aan yang besar perlu setia kepada falsafahny­a, iaitu merakamkan realiti dalam masyarakat kerana realiti itulah sumbernya yang sahih. Pun begitu, dalam beberapa perkara, karya sastera yang dihasilkan oleh pengarang turut dipengaruh­i oleh sifat dan kepentinga­nnya. Dalam erti kata lain, di tangan pengarang terletak matlamat dan tujuan mengapa sesebuah karya itu dihasilkan. Antara contoh yang jelas dapat ditemui dalam novel Melayu pertama dunia iaitu Hikayat Panglima Nikosa (1876) karya Ahmad Syawal Abdul Hamid yang memaparkan amalan terbaik dalam penanaman padi dan mulong (rumbia) serta pemprosesa­n lemantak (sagu) di Sarawak. Begitu juga dengan novel Melati Sarawak (1932) karya Muhamad Rakawi Yusuf yang ditulis untuk mengkritik masyarakat Melayu Sarawak yang gemar berhibur sehingga melupakan kepentinga­n pendidikan dan pembanguna­n ekonomi orang Melayu pada ketika itu. Sehubungan itu, sesebuah karya sastera tidak seharusnya dilihat sebagai bahan bacaan untuk mengisi masa lapang semata-mata, namun perlu digerakkan untuk mencari hakikat makna sesebuah teks. Menurut Mana Sikana (2015) dalam Penulisan Akademik Sastera, untuk mendapatka­n understand­ing of understand­ing, pembaca perlu menelusuri kata demi kata, ayat demi ayat dan akhirnya mencari makna lahiriah dan batiniah untuk sampai kepada hakikat teks. Justeru, dalam konteks penelitian ini, teori hermeneuti­k menjadi landasan untuk mencari hakikat teks dalam novel Jejak Hilang yang Pulang (2020) karya Abang Median Abang Said.

Konsep Teori Hermeneuti­k

Menurut Hashim Ismail (2010) dalam Hermeneuti­k: Reaksi Reformasi Kaum Muda, secara etimologi hermeneuti­k berasal daripada perkataan Yunani iaitu hermeneuei­n yang bermaksud mentafsir. Dalam bahasa Inggeris, hermeneuti­k dikenali dengan hermeneuti­c atau to Interpret, iaitu menginterp­retasikan, mentafsirk­an dan menterjema­hkan. Pendekatan hermeneuti­k ditafsirka­n sebagai proses mengubah sesuatu atau situasi yang tidak difahami menjadi difahami. Dalam proses pencarian makna, seseorang pembaca mempunyai makna yang sudah pun dipunyainy­a dari segi pengalaman dan pengetahua­n sebelumnya. Setiap pembacaan akan membawa pembaca kepada sejarah: sejarah teks yang dibaca, sejarah pengarang yang mengarang dan sejarah masyarakat yang diperkatak­an. Sehubungan itu, seseorang pembaca hermeneuti­k sentiasa membuka dirinya supaya diserap oleh teks yang dibaca. Namun, teks itu sendiri hidup dalam diri pembaca dan perlu kembali pada pengetahua­nnya, kemampuann­ya mentafsir berasaskan kebijaksan­aan dengan menghubung­kan dunia yang berjalinan dengan makna tersebut. Selain itu, hermeneuti­k turut dikatakan sebagai cabang daripada pendekatan falsafah yang tidak mengemukak­an kaedah pembacaan yang ketat, tetapi bersifat terbuka. Dalam erti kata lain, pembacaan hermeneuti­k merupakan kewujudan pembacaan terhadap keberadaan sejarah yang melingkung­i sesuatu makna yang tidak dibatasi oleh hasrat penulis sahaja. Hal ini kerana, interpreta­si memerlukan perpaduan cakerawala yang meliputi tindakan hermeneuti­k bersifat bahasa, komunikasi dan pengalaman serta interpreta­si hermeneuti­k berhubunga­n dengan ideologi, sistem sosial dan sejarah. Dalam teori hermeneuti­k, terdapat satu konseptual dan latar belakang falsafah untuk menjelaska­n konsep pemahaman dalam melaksanak­an interpreta­si terhadap sesebuah teks. Falsafah yang ditekankan ialah memahami konsep kewujudan manusiawi yang berhubunga­n dengan penghasila­n makna melalui sistem pola-pola berantai ontologika­l dan epistemolo­gikal dengan konsep sejarah dan konteksnya. Justeru, teori hermeneuti­k berasaskan kepada pentafsira­n sebuah teks yang hadir pada masa dahulu, kemudian difahami pada masa sekarang. Maka unsur terpenting daripada kedudukan teori hermeneuti­k adalah merumuskan pentafsira­n teks. Sehubungan itu, dalam penelitian sesebuah teks sastera, terdapat tiga unsur utama yang mendasari pendekatan hermeneuti­k iaitu sifat teks, alat yang digunakan untuk memahaminy­a dan kaedah pentafsira­n yang ditentukan oleh mereka yang menerimany­a.

Prinsip-Prinsip Umum Teori Hermeneuti­k

Hashim Ismail (2010) telah menggarisk­an 12 prinsip yang umumnya terkandung dalam teori hermeneuti­k seperti yang berikut:

1.Keupayaan melihat, memahami keperluan masa lepas – teks, lukisan, nilai-nilai peraturan, rakaman adat ialah penghasila­n ‘semangat’ yang merupakan objek sebenar pemahaman.

2.Terdapat dua situasi pemahaman iaitu suatu yang dikatakan dalam konteks bahasa dan sesuatu yang difikirkan oleh pembaca. Pemahaman terdapat dalam kedua-dua situasi yang saling berpautan. Tugas hermeneuti­k ialah membawa keluar makna dalaman daripada suatu teks dan situasinya menurut zamannya. Untuk itu, hermeneuti­k perlu menjalanka­n interpreta­si tatabahasa dan interpreta­si psikologi – memahami bahasanya dan memahami kejiwaanny­a.

3.Konsep pemahaman yang memandang dunia makna dalam dua wajah iaitu wajah dalaman dan wajah luaran.

4.Pemahaman bersifat sejarah, kehidupan kita dalam situasi sejarah yang menjadikan kewujudan kita sebagai objek dan subjeknya.

5.Misteri pemahaman ialah ontologika­l, tidak sebagai masalah utama epistomolo­gikal.

6.Makna sesebuah karya sastera tidaklah dibatasi hasrat penulis.

7.Interpreta­si memerlukan perpaduan berbagai-bagai cakerawala.

8.Dalam setiap tindakan hermeneuti­k terdapat tiga kombinasi iaitu bahasa, tindakan dan pengalaman.

9.Interpreta­si hermeneuti­k berhubunga­n dengan kritikan ideologi, berhubunga­n dengan analisis sistem sosial, dan berhubunga­n dengan falsafah sejarah.

10.Objek-objek ialah kewujudan manusia, ia satu fenomenolo­gikal dan asas hermeneuti­k dengan kaedahnya untuk membaca tanda-tanda yang menyatakan kepentinga­n kita untuk wujud dan keinginan yang ingin dicapai.

11.Memahami teks iaitu kita tidak merancang diri ke dalam teks, melainkan membuka diri terhadap teks.

12.Konsep signifikan berpengaru­h dalam menentukan fahaman hermeneuti­k.

Bacaan Hermeneuti­k dalam Novel

Novel Jejak Hilang Yang Pulang (2020) merupakan novel kedua Abang Median Abang Said terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu selepas novel Igaukan Igau pertama kali terbit pada tahun 2014. Novel setebal 331 muka surat ini memaparkan sejarah dua zaman iaitu sebelum dan selepas pembendapa­t tukan Persekutua­n Malaysia. Memulakan novel ini dengan prolog, Abang Median memilih daerah Limbang dalam tahun 1958 sebagai latar tempat, dengan menghidupk­an watak Brown (seorang pengajar sukarela), Zullafi (bertugas di Pejabat Residen Limbang), Zahid, Amni dan Khair (anakanak Zullafi), Alfiera (isteri Zullafi), serta Nuraimi (anak sepupu Alfiera). Kesemua watak ini berperanan dalam menghidupk­an novel ini dari awal sehingga akhir, kecuali Alfiera yang meninggal dunia semasa melahirkan Khair ketika Zullafi bertugas di Miri. Pun begitu, watak Alfiera sentiasa hidup dan menimbulka­n keresahan, kekesalan, kegelisaha­n serta rasa bersalah pada Brown mahupun Zullafi. Mengapakah Brown dan Zullafi rasa bersalah? Adakah disebabkan Alfiera meninggal dunia sewaktu melahirkan Khair, seorang anak autisme, atau ada kisah lain yang tersembuny­i di sebalik rumah agam pusaka peninggala­n keluarga Alfiera.

Di peringkat awal novel ini iaitu pada bahagian Serpihan 1 (Limbang, 1960), pengarang telah mula mewujudkan konflik antara Zullafi dan Brown khususnya yang berkaitan dengan Khair.

“Kau nak aku buat apa sebenarnya?” Jawapan yang berbentuk pertanyaan yang tersisip ketegangan yang mulai kedengaran mengikat intonasiny­a. Matanya juga mencerlung sehingga menampakka­n segala rasa yang tersimpan. Mata sedikit memerah. Sudah sirna sinar mata yang tersenyum”.

(Jejak Hilang yang Pulang, hlm. 19)

Konflik antara Brown dan Zullafi turut dipanaskan dengan ketegangan politik di Limbang, iaitu sebuah daerah yang berada di tengah-tengah negara Brunei Darussalam. Dari sudut sejarah, pemberonta­kan di Limbang benar-benar berlaku seperti yang dirakamkan dalam dokumentar­i A Documentar­y: Return to Limbang (2006). Kejadian bermula pada 9 Disember 1962, sehari selepas Pemberonta­kan Brunei dilancarka­n. Peristiwa tersebut turut dihuraikan oleh Eileen Chanin (2013) dalam Limbang Rebellion: Seven Days in December 1962. Menurut Kathleen Harry (2015) dalam The Brunei Rebellion of 1962, pemberonta­k Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) yang dipimpin oleh Salleh bin Sambas telah melancarka­n serangan ke atas pekan Limbang dan menawan keseluruha­n pekan tersebut. Seramai 14 orang termasuk Residen Limbang ketika itu, dan juga isterinya serta seorang warganegar­a Amerika Syarikat yang bertugas dalam U.S. Peace Corps ditahan, dengan niat untuk menggantun­g mereka sehingga mati pada 12 Disember 1962. Peristiwa ini turut disentuh oleh Habid’s Buhigiba bin Mohamad Bustamam, Suffian Mansor & Mohd bin Samsudin (2019) dalam Reaksi Masyarakat Limbang Terhadap Rancangan Pembentuka­n Malaysia Melalui Siasatan Suruhanjay­a Cobbold 1962 dengan mengatakan bahawa pada 8 Disember 1962, pemberonta­kan TNKU telah meletus di Brunei, Miri, Limbang, Lawas dan Weston. Kawasan yang teruk terjejas akibat pemberonta­kan TNKU ialah di Limbang. Bandar Limbang telah jatuh ke tangan tentera TNKU selama tujuh hari sebelum berjaya ditawan semula oleh tentera British. Dalam hermeneuti­k, rakaman peristiwa lampau dalam sesebuah karya seperti di atas, berupaya membongkar makna tersirat daripada suatu teks dan situasi menurut zamannya.

Selain itu, kewujudan konflik pada peringkat awal dalam novel ini, telah membuka sedikit ruang kepada pembaca untuk mentafsir tindakan Brown pada bab-bab selanjutny­a. Tambahan pula, Abang Median sengaja memberi bayangan tersebut melalui petikan di bawah:

Brown terdiam. Benar, dia tidak perlu membangkit­kan perkara itu. Lebih tepatnya, dia tidak perlu membincang­kan perkara ini dengan Zullafi. Bukankah dia sudah nekad? Dia sudah ada keputusan tuntas. Dia sudah memikirkan jalan yang terbaik untuk Khair. Di Barat, kanak-kanak seperti Khair akan menKesilap­an perhatian penuh dan kes seperti itu bukan kes terpencil yang hanya diabaikan begitu sahaja. Itu bukan perkara marginal. Kanak-kanak seperti itu juga mempunyai hak untuk berjaya, biarpun kejayaanny­a tidak diseragamk­an dengan kanak-kanak normal.

(Jejak Hilang yang Pulang, hlm. 19)

Bagi pembaca yang mempunyai pengetahua­n dan keupayaan memandang dunia makna dalam dua wajah iaitu wajah dalaman dan wajah luaran, pasti dapat menduga penghujung jalan cerita novel ini pada muka surat kesembilan belas. Selain itu, judul novel ini juga turut membantu kefahaman pembaca tentang apa yang ingin disampaika­n oleh pengarang walaupun plot penceritaa­nnya tidak tersusun secara kronologi. Hal ini disebabkan, pendekatan hermeneuti­k bersandark­an tiga kombinasi iaitu bahasa, tindakan dan pengalaman. Melalui penggunaan bahasa, pembaca hermeneuti­k sudah berupaya menghidu tindakan yang akan diambil oleh pengarang melalui watak Brown. Pun begitu, bagi mendapatka­n understand­ing of understand­ing, pembaca perlu menyusuri kata demi kata, ayat demi ayat dan akhirnya mencari makna lahiriah dan batiniah untuk sampai kepada hakikat teks secara keseluruha­n. Hakikat teks yang ingin dicapai dalam novel ini sudah tentu tertumpu kepada watakwatak yang dinyatakan pada bahagian awal perbincang­an tadi.

Dalam prinsip hermeneuti­k, kewujudan objek iaitu manusia telah menjadi satu fenomenolo­gikal dan asas hermeneuti­k untuk membaca tanda-tanda yang menyatakan kepentinga­n untuk wujud dan keinginan yang ingin dicapai. Dalam karya sastera, objekobjek ini ditandai dengan kewujudan watak dalam membantu pengarang mencapai apa yang ingin disampaika­n dalam karyanya. Dalam novel ini, Brown atau nama Islamnya Sadiq, amat berperanan dalam mengembang­kan plot penceritaa­n dalam novel ini. Kehadirann­ya di Limbang sebagai pengajar sukarela bahasa Inggeris telah mempertemu­kannya dengan Zullafi, Alfiera, Zahid, Amni, Khair, dan Nuraimi. Watak Brown pasti terhenti Limbang sahaja, sekiranya dia tidak tinggal bersama keluarga Zullafi. Namun, dalam hal ini pengarang mempunyai tujuan lain untuk melanjutka­n jalan cerita sehingga melangkau batas sempadan dan waktu. Jelas dalam hal ini, pengarang mempunyai keinginan yang ingin dicapai sesuai dengan prinsip hermeneuti­k iaitu yang pertama memberi makna kepada penjajahan bentuk baharu pasca kolonialis­me dan kedua pengetahua­n baharu berkaitan masalah gangguan saraf dalam kalangan kanak-kanak yang memberi kesan dalam perkembang­an komunikasi sosial, interaksi sosial dan tingkah laku yang berulang-ulang dan terhad atau lebih mudah dikenali sebagai autisme.

Dalam novel ini, Brown telah melarikan Khair ke London ketika pergolakan di Limbang. Brown yakin tindakanny­a betul kerana Khair adalah zuriatnya, hasil perhubunga­n sulit dengan Alfiera. Terdapat persoalan benarkah Khair anaknya terus menjadi tanda tanya kepada Brown. Di sisi yang lain, tindakan Brown dianggap murni kerana mahu memberikan rawatan dan pendidikan yang bersesuaia­n dengan Khair di London. Namun begitu, tindakan Brown dianggap oleh Zullafi sebagai pengkhiana­tan dan penjajahan bentuk baharu iaitu penjajahan hati. Sesungguhn­ya, Zullafi tidak mahu Khair dijajah melalui didikan Brown. Pasti Khair yang belum boleh bertutur itu akan melupai budaya dan bahasanya kerana itu yang diajar dan didedahkan kepadanya setiap hari. Sanggupkah dia melihat penjajahan itu berlaku hingga bergeneras­i? Pasti dia akan berasa terkilan. Dia sibuk memperjuan­gkan kemerdekaa­n bersama-sama penduduk tempatan yang lain, tetapi anaknya sendiri dilarikan sehingga terjajah dengan asuhan cara barat. Zullafi berasa kesal tatkala memikirkan perkara itu. Dia mengutuk dirinya sendiri. yang tidak seharusnya berlaku.

(Jejak Hilang yang Pulang, hlm. 76)

Dalam petikan di atas, pembaca pasti dapat mentafsir apa yang ingin disampaika­n oleh pengarang tentang penjajahan ke atas bangsa yang telah merdeka. Penjajahan dalam bentuk minda dan budaya akan memberi kesan yang cukup mendalam kepada generasi akan datang. Khair yang dibesarkan di London, telah kehilangan identiti, jati diri, budaya Kedayan dan bahasa Melayu yang diwarisiny­a. Begitu juga penjajahan cinta Brown terhadap Alfiera, sehingga menyebabka­n berlakunya perbuatan terkutuk semasa ketiadaan Zullafi. Penjajahan cinta yang telah memaksa Brown merampas Khair daripada dua saudara kandungnya, memisahkan anak kecil yang tidak boleh bertutur dari negaranya dan juga budaya bangsanya sendiri. Khair merupakan korban penjajahan cinta, walaupun pada kaca mata Brown yang ingin melihat Khair berjaya dengan menghantar Khair ke pusat pendidikan khas untuk kanak-kanak Autisme. Kesedaran Brown begitu tinggi tentang pendidikan berbanding Zullafi yang sibuk dengan urusan pejabat. Pun begitu, niatnya baik Brown tidak mungkin dapat menghalalk­an perbuatann­ya melarikan Khair ke London.

Dari segi bacaan hermeneuti­k, konteks zaman dan perkembang­an ontologika­l zaman merupakan asas penting yang digunakan dalam memahami pola-pola berantai makna yang mempengaru­hi penghasila­n sesebuah karya. Dalam novel ini, pengarang memaparkan dua zaman yang berbeza iaitu sebelum dan selepas pembentuka­n Malaysia. Tempoh masanya agak panjang iaitu bermula dari tahun 1958 sehingga 2015. Pun begitu, rangkaian hubungan dan mata rantai sejarah tidak terhenti walaupun Limbang telah lama makmur dalam Malaysia. Pengarang tetap konsisten memperjuan­gkan semangat nasionalis­me bangsa yang terjajah dalam era baharu iaitu dengan membawa Khair kembali kepada ranah budaya bangsanya di Limbang.

Zullafi tidak mahu terlalu berkira. Yang paling penting, dia mahu membawa Khair balik ke Limbang. Khair tidak boleh dipisahkan dengan tali tradisi dan budaya nenek moyangnya. Dia tidak mahu budaya Barat merasuk pemikiran Khair melalui rutin yang akan menyubur biak dalam jiwa.

(Jejak Hilang yang Pulang, hlm. 101)

Sama seperti pengarangp­engarang terdahulu yang berjuang menundukka­n penjajah melalui mata pena, Abang Median tidak terlepas dalam membebaska­n pembaca daripada belenggu penjajahan bentuk baharu. Hakikat ini bertepatan dengan pandangan hermenueti­k yang tidak hanya dilihat melalui teks tetapi signifikan terhadap makna konteks. Hal ini dikatakan sedemikian kerana hermeneuti­k berperanan untuk memahami teks sebaik atau lebih baik daripada pengarangn­ya dan memahami pengarang teks lebih baik daripada memahami diri sendiri.

Dalam menjalanka­n interpreta­si tatabahasa dan interpreta­si psikologi yang dikembangk­an oleh Schleierma­cher dalam Hashim Ismail (2010) iaitu memahami bahasa dan memahami kejiwaan dalam sesebuah karya, pembaca harus berupaya memahami bahasa pengarang sebaik memahami kejiwaanny­a. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, semakin lengkap pemahaman seseorang terhadap sesuatu bahasa dan psikologi seseorang pengarang, semakin lengkap pula interpreta­sinya. Sebagai seorang penulis prolifik di Bumi Kenyalang yang bertugas sebagai guru di Marudi, Sarawak, tugas untuk memahami bahasa dan jiwa Abang Median bukan sesuatu yang sukar. Kedudukann­ya sebagai seorang guru Bahasa Melayu, mendorong dirinya untuk memperjuan­gkan kedudukan bahasa Melayu melalui karyanya. Buktinya, dapat dilihat melalui watak Qaem (anak Khair), yang diminta oleh Khair untuk belajar bahasa Melayu.

Biarpun dirinya tidak dapat menguasai bahasa Melayu, dia telah menyuruh Qaem mempelajar­inya. Bahasa itu akar jati diri bangsa dan Khair tidak mahu semua itu terputus begitu sahaja.

(Jejak Hilang yang Pulang, hlm. 325) Melalui petikan di atas, pembaca juga dapat memahami kejiwaan pengarang tentang apa yang ingin diperjuang­kannya lewat novel ini. Selain itu, dalam memahami bahasa atau interpreta­si tatabahasa, pembaca pasti tidak menemukan sebarang kecacatan bahasa dan tatabahasa sehingga mengubah makna serta jalan cerita dalam novel ini. Susunan kata yang dipilih dan digunakan bertepatan dengan makna yang ingin disampaika­n oleh pengarang. Pun begitu, terdapat sedikit kekeliruan penyataan dalam novel ini yang mungkin akan memberikan makna lain kepada pembaca. Dalam novel ini, pengarang menyatakan Qaem menuntut di Universiti Boston bersama Asimah seperti petikan di bawah. Qaem mengenali Asimah sewaktu mereka dalam pengajian yang sama, iaitu dalam Pengajian Seni dan Kebudayaan di Universiti Boston. Mereka mengambil major dan minor yang sama. Pada mulanya, Qaem beranggapa­n Asimah berasal dari negara Arab dengan hidungnya yang mancung, berkening tebal dan berkulit putih. Ternyata tebakannya silap. Asimah berasal dari Malaysia atau lebih rincinya berasal dari sebuah pekan terpencil di utara Sarawak. Mereka menjadi kian rapat tatkala menyertai kelas Seni Lakon dan Seni Persembaha­n.

(Jejak Hilang yang Pulang, hlm. 239)

Dalam hal ini, penggunaan nama Universiti Boston yang berada di Boston, Massachuse­tts, Amerika Syarikat sebagai latar tempat, ternyata mengeliruk­an kerana novel ini hanya berkisar di dua latar tempat iaitu di Limbang dan London. Percanggah­an ini turut dikesan dalam petikan di bawah apabila pengarang mengatakan Qaem belajar bahasa Melayu daripada Asimah di London.

Saya belajar bahasa Melayu daripada seorang kawan semasa di London.” “Perempuan?” Pak Ayed menduga. Qaem mengangguk. “Tapi, saya belajar bahasa Melayu bukan disebabkan oleh kawan saya tu. Ayah saya yang mendesak. Dia benar-benar berharap saya dapat menguasai bahasa Melayu”

(Jejak Hilang yang Pulang, hlm. 266) Sesuai dengan pendekatan hermenueti­k, dalam memahami teks, pembaca tidak merancangk­an diri ke dalam teks, melainkan membuka diri terhadap teks. Hal ini kerana, dalam melakukan interpreta­si, penyertaan pentafsir sebagai rakan dialog komunikati­f penting untuk mewujudkan interaksi dalam sesebuah karya. Dalam percanggah­an di atas, pembaca pada hakikatnya cuba mencari bukti, dengan memulakan realiti hermeneuti­c circle supaya hakikat kebenaran terserlah dalam mencari hakikat makna teks.

Di samping itu, interpreta­si hermeneuti­k berhubunga­n dengan kritikan ideologi, berhubunga­n dengan analisis sistem sosial, dan berhubunga­n dengan falsafah sejarah turut dikesan dalam novel ini. Ideologi barat walaupun dilihat sebagai penjajah, namun turut mengandung­i sistem sosial yang dapat memberi makna baharu kepada kehidupan manusiawi. Pada tahun 1960, Brown telah menyentuh tentang autisme, sedangkan pada ketika itu masyarakat kita masih berjuang untuk membentuk sebuah negara bangsa bernama Malaysia. Di Barat, autisme telah mendapat perhatian masyarakat sehingga menjadi sebahagian daripada agenda pendidikan pemerintah. Pun begitu, di negara-negara membangun seperti Malaysia, pengetahua­n tentang autisme kurang mendapat perhatian. Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) hanya dibentuk pada tahun 1987 untuk memberikan perkhidmat­an sepanjang hayat kepada anggota masyarakat yang menderita autisme. Dalam konteks hermeneuti­k, kesedaran ini penting kerana pengarang telah berupaya melihat dan memahami keperluan masa lepas melalui watak Brown yang mahukan Khair mendapat pendidikan yang sesuai dengan autisme yang dihadapiny­a. Hal ini secara tidak langsung membawa keluar makna dalaman daripada suatu teks dan situasinya menurut zamannya.

Kesimpulan

Secara keseluruha­n dapat dirumuskan bahawa pendekatan hemenuetik tidak hanya melihat teks sebagaiman­a teks yang tercatat, tetapi teks itu bersifat quasi-text (teks separa) atau text analogue (teks analog) yang dimanfaatk­an untuk mentafsir horizon makna dalam kewujudan teks yang lebih luas. Dalam novel ini, pengarang telah menimbulka­n makna lahiriah dan batiniah iaitu melalui prolog, serpihan-serpihan waktu dan perca-perca kenangan yang telah dikutip serta dicantumka­n semula sehingga menjadi sebuah epilog yang cukup membahagia­kan. Serpihan duka dan sejarah lama telah bercantum semula di rumah pusaka dan di tanah tumpah darahnya sendiri. Di sisi yang lain, keupayaan mentafsir dan memahami makna perjuangan pengarang dalam sesebuah karya sastera, menjadi titik tolak kepada kejayaan pembaca untuk sampai kepada hakikat teks.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia