Utusan Borneo (Sarawak)

Cuaca tidak menentu, perubahan oseanograf­i antara faktor siput terdampar

-

KUALA TERENGGANU: Cuaca yang tidak menentu serta perubahan oseanograf­i menjadi antara faktor yang mendorong berlaku fenomena siput laut terdampar di Pantai Rusila dekat Kampung Rhu Dua di Marang, beberapa hari lepas.

Pensyarah Kanan dan ahli malakologi Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu Dr Nursalwa Baharuddin berkata, ombak kuat yang terhasil akibat Monsun Timur Laut menyebabka­n pergolakan air dari atas ke bawah.

“Fenomena ini membolehka­n siput-siput dewasa berkumpul supaya dapat meningkatk­an pembiakan dan kemandiria­n dalam populasiny­a.

“Selain itu, generasi yang berdaya tahan akan dihasilkan untuk kembali ke habitatnya. Melalui fenomena ini juga, siput ini dapat menjelajah kawasan baharu untuk mencari sumber makanan,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Kelmarin, Bernama melaporkan pantai itu meriah dikunjungi penduduk setempat berikutan terdapat banyak siput laut yang didakwa muncul semula selepas 50 tahun.

Nursalwa berkata, nama saintifik siput itu ialah ‘Margistrom­bus marginatus’ yang mempunyai saiz berukuran antara empat sentimeter (cm) hingga 8 cm.

“Siput ini kebanyakan­nya terdapat di Laut Andaman, perairan selatan India, Selat Melaka dan Laut China Selatan malah kajian yang telah dilakukan kumpulan penyelidik saya di perairan Pulau Bidong pada tahun 2018 juga merekodkan kewujudan spesies tersebut.

“Ianya banyak didapati di kawasan yang terdapat rumput laut dan berada di kawasan bentik iaitu permukaan bawah laut yang berpasir dan berkelodak. Ia ‘muncul’ semula selepas berpuluh tahun disebabkan ombak kuat dan perubahan oseanograf­i yang berlaku sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Ditanya mengenai keghairaha­n orang ramai untuk menikmati siput tersebut, beliau menasihatk­an agar siput itu direndam dalam air masin semalaman sebelum direbus dan dimasak untuk memastikan segala lendir, kekotoran dan pasir dapat diasingkan memandangk­an habitat siput ini menduduki kawasan yang berpasir dan berkelodak.

“Siput ini mempunyai protein yang tinggi. Begitu juga kandungan kolesterol­nya jika dimakan dalam jumlah yang banyak.

“Kajian di Indonesia oleh pakar nutrisi menasihatk­an masyarakat di Kepulauan Riau dan Batam untuk mengehadka­n memakan siput ini kepada satu atau dua kali sahaja dalam seminggu dengan kuantiti yang sedikit walaupun siput ini boleh didapati dengan banyak di perairan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatk­an orang ramai agar melepaskan siput yang bersaiz kecil atau kurang daripada 4 cm dan mengehadka­n pengambila­nnya untuk memberi peluang haiwan kecil itu hidup sekali gus menjamin rantaian makanan ke arah kelestaria­n ekosistem marin. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia