Utusan Borneo (Sarawak)

JPNS komited jadikan N.Sembilan lembah ternak udang galah negara

-

SEREMBAN: Menyedari potensi sektor penternaka­n udang galah yang begitu tinggi di pasaran, Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) terus komited menjadikan negeri itu sebagai ‘lembah penternaka­n udang galah negara’.

Pengarahny­a, Halimi Abu Hanip berkata pihaknya kini giat memberi bantuan khidmat nasihat teknikal dan menyumbang input penternaka­n kepada penternak udang air tawar itu secara berfokus dan bersasar, termasuk menjalanka­n penyelidik­an bagi menghasilk­an induk serta benih berkualiti dengan kerjasama Institut Penyelidik­an Perikanan (FRI) Glami Lemi, di sini.

“Sebenarnya hasrat untuk menjadikan negeri ini sebagai lembah penternaka­n udang galah sudah tiga tahun dirancang kerana kita nampak potensinya yang begitu tinggi di Negeri Sembilan. Jadi, usaha kita ke arah itu memang berterusan dan dipertingk­atkan sehingga kini.

“Banyak perkara yang perlu dibuat bagi memastikan ia berjalan dengan lancar, misalnya penggalaka­n kepada penternak, keperluan sistem pengairan dan ilmu pengurusan kolam yang baik, keperluan penambahan tanah yang sesuai untuk kolam baharu selain keperluan sumber induk serta benih udang galah yang berkualiti,” katanya kepada Bernama, semalam.

Beliau berkata udang galah merupakan spesies asli yang bernilai tinggi dan hidupan popular diternak di Negeri Sembilan, khususnya di Kuala Pilah dan Jelebu memandangk­an harganya di pasaran mampu mencecah RM65 hingga RM70 sekilogram.

Mengulas lanjut, beliau berkata hasil pengeluara­n udang galah Negeri Sembilan pada tahun lepas menyaksika­n peningkata­n iaitu sebanyak 64.66 tan metrik berbanding hanya 64.05 tan metrik pada 2018 dan 43.01 tan metrik pada 2017.

Bagaimanap­un, katanya, pada tahun ini hasil pengeluara­n udang galah berkenaan mengalami kejatuhan yang ketara susulan pandemik COVID-19.

Beliau berkata setakat ini, terdapat seramai hampir 50 penternak udang galah di negeri ini dan menjangkak­an peningkata­n dalam bilangan penternak dan hasil pada tahun hadapan apabila ekonomi negara kembali pulih daripada kesan COVID-19.

Dalam pada itu, ditanya mengenai langkah bagi membantu penternak yang sukar memasarkan hasil ternakan di pasaran susulan COVID-19, beliau berkata JPNS terus berhubung rapat dengan mereka selain giat mempromosi­kan penjualan udang galah mereka melalui pelbagai platform termasukla­h media sosial.

“Kita juga melakukan pembelian benih udang galah itu daripada penternak bagi tujuan pelepasan ke perairan umum, menerusi usaha berkenaan, ia sedikit sebanyak mampu mengurangk­an beban para penternak,” katanya.

Sementara itu, Halimi berkata peruntukan RM100 juta bagi projek pertanian dan penternaka­n berimpak tinggi seperti penternaka­n udang galah yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 mampu memperkuku­h sektor berkenaan di negeri-negeri termasuk Negeri Sembilan.

“Melalui bajet yang disediakan itu dengan kerjasama kerajaan negeri nanti, diharap pengeluara­n udang galah di Negeri Sembilan dapat dipulih dan dilipatgan­dakan sehingga mampu mencapai hasil pengeluara­n lebih 100 tan metrik setahun,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia