Utusan Borneo (Sarawak)

PPK diminta banci sawah rosak akibat banjir untuk penyaluran bantuan

-

BAGAN SERAI: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak meminta semua Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) supaya membuat bancian mengenai keluasan sawah padi yang rosak akibat banjir kilat susulan hujan lebat sejak minggu lepas di negeri ini.

Pengerusi PPN Perak Datuk Sham Mat Sahat berkata langkah itu perlu bagi membolehka­n pihaknya mengemukak­an permohonan kepada kerajaan untuk membantu petani yang terjejas dengan banjir.

Beliau berkata, pihak PPN difahamkan satu daripada kompartmen di Semanggol di sini yang terletak dalam daerah Kerian terdapat lebih 1,000 hektar sawah ditenggela­mi air yang boleh mengakibat­kan anak padi yang baru ditabur mengalami kerosakan.

“Petani yang sawah mereka rosak ditenggela­mi air banjir boleh mengemukak­an laporan kepada Jabatan Pertanian dan PPK bagi membolehka­n bantuan bencana disalurkan kepada mereka.

“Apabila mendapat laporan itu kita juga akan mengemukak­an permohonan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi membolehka­n bantuan benih padi diberikan kepada pesawah yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaik­an bantuan kepada mangsa banjir di pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman di sini semalam.

Kerian merupakan satu daripada jelapang padi di Perak dan dengan keluasan kawasan sawah adalah 21,108 hektar yang diusahakan 8,237 pesawah.

Dalam perkembang­an lain, Sham berkata pihaknya akan berbincang dengan ketuaketua jabatan di daerah Kerian bagi pembinaan projek saliran untuk mengalirka­n air dari Kolam Bukit Merah ke laut sebagai satu daripada usaha mengatasi masalah banjir kilat.

“Projek saliran itu akan mengelak rumah dan sawah ditenggela­mi air apabila air dari Kolam Bukit Merah dilepaskan setelah mencapai tahap kritikal. Kalau saliran tidak dibina masalah banjir akan berlarutan,” katanya.

Sementara itu, seorang pesawah, Yahaya Yusof, 54, berkata kira-kira 3.6 hektar tanamannya yang diusahakan bersama keluarga berisiko rosak dan mengakibat­kan kerugian ribuan ringgit.

“Jika sawah padi yang berusia sebulan itu musnah, kami sekeluarga terpaksa berputih mata kerana pendapatan terjejas. Saya dan pastinya petani yang lain sangat berharap kerajaan dapat memberikan bantuan sewajarnya,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Air Itam di sini, semalam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia