Utusan Borneo (Sarawak)

Pilihan raya mengejut dijangka pacu KLCI ke paras 1,800 mata tahun depan: DDNK

-

KUALA LUMPUR: Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka kembali mencecah paras 1,800 -- yang kali terakhir dicapai pada 2018 -- menjelang penghujung 2021, seandainya pilihan raya mengejut diadakan tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan (DDNK) berkata pelabur amat menjangkak­an pilihan raya mengejut diadakan seawal Januari 2021 susulan keyakinan terhadap penemuan vaksin COVID-19, selain penarikan balik Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak pertengaha­n Oktober lepas.

“Ramai pelabur yakin vaksin COVID-19 akan tersedia di negara ini pada Mac 2021, malah ada kalangan mereka yang menjangkak­an sebaik sahaja situasi pandemik stabil dan PKPB ditarik balik, pilihan raya mengejut boleh berlaku seawal Januari 2021,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Beliau turut yakin pilihan raya mengejut itu akan dapat menyelesai­kan perkembang­an politik semasa dalam negara justeru, akan menarik lebih banyak aliran masuk dana asing ke dalam pasaran tempatan dan mendorongn­ya melonjak lebih tinggi tahun depan.

“Pilihan raya mengejut ini merupakan antara pemangkin terbesar bagi kenaikan kukuh di pasaran tahun depan,” katanya.

Barometer pasaran itu mencecah paras 1,800 buat kali terakhir sebelum ini apabila ia meningkat kepada 1,803.71 mata pada 27 Sept, 2018 namun sejak itu ia telah kehilangan kekuatan dengan susut kepada paras terendah dalam tempoh 11 tahun iaitu 1,207.80 mata pada 19 Mac, 2020.

DDNK berkata selain pilihan raya mengejut yang dijangkaka­n, Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion, terbesar dalam sejarah

Malaysia, akan dapat mendorong FBM KLCI naik lebih tinggi tahun depan.

“Memandangk­an Belanjawan 2021 memberi penekanan kepada sektor pembinaan, kita yakin sektor itu akan menjadi penerima manfaat terbesar tahun depan berbanding saham teknologi yang menjadi tumpuan pelabur tahun ini,” katanya.

Beliau juga berpandang­an keyakinan terhadap penemuan vaksin COVID-19 akan mewujudkan pembelian atau minat pelabur mengikut pusingan sektor dengan pelabur akan menumpukan daripada saham pertumbuha­n kepada saham bernilai tahun depan.

Ini khususnya melibatkan saham yang mengalami penyusutan seperti perladanga­n, penerbanga­n, hotel, pelanconga­n, perjudian, perbankan dan amanah pelaburan hartanah (REIT), katanya.

“Sementara itu, kita menjangkak­an dolar Amerika Syarikat (AS) mengalami kelemahan tahun depan, yang akan menjadi petanda baik bagi harga komoditi, seperti harga minyak mentah yang kemungkina­n didagangka­n lebih tinggi iaitu di antara AS$55 dengan AS$60 setong tahun depan.

“Ini akan melonjakka­n Bursa Malaysia memandangk­an 30 peratus saham-saham di bursa tempatan itu adalah yang berkaitan komoditi,” katanya.

DDNK berkata jangkaan pasaran mengenai prestasi dolar AS yang lebih lemah akan turut mendorong pengukuhan ringgit yang diunjurkan naik sebanyak 3.0-5.0 peratus berbanding paras semasa 4.09 berbanding dolar AS.

Malah, beliau percaya perkembang­an itu akan menggalakk­an lebih banyak aliran masuk dana asing ke dalam pasaran tempatan.

“Adalah diharapkan ini akan menjurus kepada langkah menaikkan penarafan negara pada tahun depan yang seterusnya memberi impak terhadap hasil bon, menurunkan kos pembiayaan dan melonjakka­n aliran masuk modal ke dalam pasaran,” katanya.

Beliau juga menyifatka­n langkah memperkena­lkan pakej rangsangan COVID19 bernilai RM305 bilion berserta kadar inflasi yang sederhana (Indeks Harga Pengguna 1.4 peratus pada September 2020) dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) lebih rendah pada 1.75 peratus, mampu menyediaka­n mudah tunai secukupnya bagi aset berisiko dan mewujudkan lebih banyak pemangkin positif terhadap pasaran saham pada tahun depan.

Mengulas perkembang­an di luar negara, beliau berkata kemenangan Joe Biden dalam pemilihan Presiden AS dijangkaka­n menyuntik impak positif terhadap pasaran ekuiti global, terutamany­a China serta pasaran lain di Asia dan sedang pesat membangun. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia