Utusan Borneo (Sarawak)

Kontraktor, peniaga mangsa penipuan pinjaman tidak wujud

Melibatkan kerugian masing-masing RM5,940 dan RM1,300

- Oleh Rusnan Mustafa

“Pada 17 November 2020, mangsa telah tertarik untuk membuat pinjaman wang secara dalam talian yang ditawarkan melalui Facebook dan kemudian telah berurusan dengan seorang lelaki yang memperkena­lkan diri sebagai Robert melalui WhatsApp.

Superinten­den Maria Rasid

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak

KUCHING: Seorang kontraktor dan seorang peniaga menjadi mangsa baharu kes penipuan pinjaman tidak wujud di Sarawak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Superinten­den Maria Rasid berkata, kes itu dilaporkan di daerah Sri Aman dan Lundu.

Jelasnya, kes pertama iaitu di Sri Aman melibatkan seorang kontraktor lelaki berusia 26 tahun yang mengalami kerugian kira-kira RM5,940.

“Pada 17 November 2020, mangsa telah tertarik untuk membuat pinjaman wang secara dalam talian yang ditawarkan melalui Facebook dan kemudian telah berurusan dengan seorang lelaki yang memperkena­lkan diri sebagai Robert melalui WhatsApp.

“Mangsa mahu membuat pinjaman wang sebanyak RM80,000 dan kemudian diberitahu permohonan pinjaman wang secara dalam talian telah diluluskan tetapi mangsa perlu membuat beberapa bayaran seperti bayaran insurans dan bayaran proses pinjaman ke akaun pihak ketiga yang diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jelasnya, akibatnya mangsa telah membuat pembayaran berjumlah lebih kurang RM5,940 melalui tiga transaksi pemindahan wang ke dua akaun bank atas nama individu berlainan yang tidak dikenali antara 17 November 2020 dan 20 November 2020.

Tambah Maria, mangsa mula mencurigai dan menyedari telah ditipu setelah suspek meminta bayaran tambahan selepas itu, malah tiada wang pinjaman diterima.

Kes kedua di Lundu pula, katanya melibatkan seorang peniaga lelaki berusia 27 tahun yang mengalami kerugian sekitar RM1,300.

Menurut beliau, pada 22 November 2020 mangsa telah melihat iklan pinjaman wang daripada sebuah syarikat dalam laman sosial Facebook.

“Mangsa telah tertarik dengan iklan tersebut dan ingin meminjam wang berjumlah RM2,000.

“Kemudian mangsa telah berurusan dengan wakil satu syarikat kononnya mengendali­kan pinjaman wang secara dalam talian yang dibuat mangsa dan telah diarahkan untuk membuat bayaran wang oleh suspek kononnya sebagai wang proses kelulusan pinjaman,” ujarnya.

Tambahnya pada hari sama, mangsa telah membuat empat transaksi pemindahan wang keseluruha­n berjumlah RM1,300 ke akaun individu yang tidak dikenali seperti yang diberikan suspek.

“Mangsa merasakan telah ditipu setelah suspek meminta mangsa membuat bayaran tambahan tetapi wang pinjaman tidak diterima mangsa,” dedahnya.

Dalam pada itu, Maria berkata sebanyak 273 kes penipuan pinjaman tidak wujud dilaporkan bagi tempoh 1 Januari hingga 22 November 2020 melibatkan jumlah kerugian melebihi RM3.32 juta di Sarawak.

“Bagi tempoh 1 Januari 2019 hingga 22 November 2019 pula sebanyak 205 kes penipuan pinjaman tidak wujud dilaporkan melibatkan jumlah kerugian melebihi RM2.29 juta,” katanya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati untuk membuat apa-apa pinjaman wang terutama pinjaman wang secara dalam talian.

Tegasnya, ini kerana terdapat pinjaman yang ditawarkan secara dalam talian melalui media-media sosial seperti Facebook, WeChat, WhatsApp dan lain-lain lagi adalah berunsur penipuan.

“Sekiranya anggota masyarakat mempunyai apaapa kemusykila­n atau berkemungk­inan telah ditipu, anda boleh menyalurka­n maklumat melalui WhatsApp atau SMS ke Commercial Crime Investigat­ion Department (CCID) Infoline di talian 013-211 1222.

“Orang ramai boleh melayari portal rasmi Polis Diraja Malaysia (rmp.gov.my), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (ccid.rmp.gov. my) dan Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak untuk mendapatka­n maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan (financial fraud) seumpamany­a,” tambahnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia