Utusan Borneo (Sarawak)

Insiden tembakan di sempadan: Seorang anggota PGA maut, seorang lagi parah

-

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup, manakala seorang lagi cedera parah.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan semalam memaklumka­n anggota yang terkorban ialah Kpl Baharuddin Ramli manakala rakan setugasnya, Kpl Norihan a/l Tari cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis.

“Kerajaan amat memandang serius terhadap kejadian ini dan tidak akan berkomprom­i dengan mana-mana pihak terutama kumpulan penyeludup yang melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan itu.

Menteri itu berkata beliau dimaklumka­n siasatan awal mendapati kejadian itu bermula apabila dua anggota PGA berkenaan yang sedang melakukan tugasan risikan di kawasan kejadian diserang oleh dua kumpulan, disyaki terdiri daripada warga tempatan dan warga asing yang sedang menjalanka­n aktiviti jenayah penyeludup­an di sempadan.

Beliau mengarahka­n Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti penjenayah bertanggun­gjawab menyerang dua anggota PGA itu.

“Saya dan seluruh warga Kementeria­n Dalam Negeri mengucapka­n takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian tembak anggota PGA berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika dihubungi Bernama mengesahka­n kejadian berkenaan dan sedang dalam perjalanan ke Perlis untuk mengetahui lebih lanjut kejadian itu.

Bernama difahamkan satu sidang media turut akan diadakan polis Perlis berhubung kejadian berkenaan. — Bernama

 ??  ?? LAWATAN: Abdul Hamid (dua kiri) bertanya sesuatu kepada anggota bertugas di Pos Sekatan Jalan Raya Taman Radzi dekat Padang Besar selepas melawat kawasan berlakunya tembakan keatas seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand yang maut dipercayai ditembak, semalam.
— Gambar Bernama
LAWATAN: Abdul Hamid (dua kiri) bertanya sesuatu kepada anggota bertugas di Pos Sekatan Jalan Raya Taman Radzi dekat Padang Besar selepas melawat kawasan berlakunya tembakan keatas seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand yang maut dipercayai ditembak, semalam. — Gambar Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia